19 March 2011

Peribadi 10 tokoh srikandi

Peribadi 10 tokoh srikandi
WANITA sememangnya golongan hebat yang memiliki pelbagai pesona. Setiap wanita mengimpikan ciri-ciri kesempurnaan termasuk sahsiah, perwatakan dan kejayaan dalam karier.
Bagi memiliki sifat kesempurnaan terbabit ia perlu dilengkapi sifat terpuji, kekentalan jiwa dan ilmu yang tinggi supaya bertepatan dengan ciri serta kehendak Islam.
Buku 10 Tokoh Idola Muslimah ini mengajak pembaca menghayati sejarah perjuangan insan-insan hebat iaitu perjuangan menegakkan Islam. Kisah hidup mereka perlu dijadikan pedoman dan teladan sebagai panduan dalam melayari kehidupan.


Pemilihan tokoh-tokoh srikandi Islam sebagai wanita contoh yang tersurat dalam sejarah Islam ini boleh ditampilkan serta diketengahkan kepada wanita masa kini.

Mereka ialah Siti Aminah binti Abdul Wahab, Siti Khadijah binti Khuwailid, Siti Aisyah binti Abu Bakar, Siti Hajar, Siti Sarah, Fatimah Az-Zahrah binti Muhammad, Siti Zulaikha, Asma’ Abu Bakar, Asiah Muzahim dan Siti Rahmah.
Setiap tokoh dirungkaikan secara terperinci merangkumi sejarah hidup dan kaitannya dengan kehidupan masa kini serta kisah inspirasi yang boleh dijadikan motivasi bagi menghias peribadi.

Ketika ini kita ketandusan tokoh menepati cita rasa Islam sebenar dan masih belum terlambat lagi untuk mencedok dan meneliti kembali perjalanan srikandi hebat yang terbukti mempunyai kriteria unggul dan berbeza.
Segala kesukaran dan cabaran yang dilalui tokoh-tokoh srikandi hebat berkenaan dapat dijadikan iktibar dan mampu tampil sebagai ikon dalam menjalani perjuangan dan perjalanan penuh cabaran.
Hakikatnya, mereka berjaya meletakkan penanda terbaik dalam meniti perjuangan. Golongan ini berjaya mengangkat martabat wanita hingga nama dan kisah sebahagian daripada mereka terus tercatat dalam lembaran sejarah dan wahyu Ilahi.
Setiap peristiwa yang tercatat dalam al-Quran mempunyai hikmahnya tersendiri terutamanya kepada kaum wanita. Wanita adalah tonggak utama dalam kehidupan rumah tangga kerana wanita yang melahirkan serta mendidik anak sebagai pewaris masa depan.
Pembabitan tokoh wanita dalam menegakkan agama suci Allah tidak boleh dianggap remeh kerana ia adalah titik tolak kepada kemenangan Islam.
Justeru, penting bagi kita untuk menyoroti kembali kisah hidup, kehebatan, titik tolak kejayaan dan rahsia besar jiwa mereka dalam meraih kejayaan dan kecemerlangan peribadi, sahsiah serta perwatakan mereka.
Mereka boleh dijadikan idola demi menyuntik semangat dalam mengendalikan masalah dan cabaran semasa.




Tajuk: 10 Tokoh Idola Muslimah
Penulis: Sakinah Salleh
Penerbit: PTS Millenia Sdn Bhd
Cetakan: Pertama
Harga: RM13.00 (Semenanjung) RM15.00 (Sabah dan Sarawak)
Halaman: 115 muka surat

2 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum saya berkenan untuk membeli buku ini tetapi bagaimana cara pembayaran dan apakah prosedur saya setelah membayarnya.

Mengharap RedhaMu said...

w'salam.....sebenarnya sy cuma menyampaikan isi kandungannya....sebab buku ni telah ada di pasaran. Cuba lihat di kedai2 buku. Insya'allah jika ada rezki akan ketemuinya. :) maaf yer...sy bukan penjualnya...cuma menghebahkannya sahaja... :)

Ada baik dibaca juga.....