16 January 2012

Perkara Bid'ah-Mari Fahami Bersama


Orang Mukmin Akan Menjauhkan Diri Dengan Perkara Bid'ah Dan Beramal Dengan Sunah Nabi SAW

Bismillahirrahmanirrahim.Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Kita sering mendengar perkataan bid'ah yang terdapat di dalam hadis-hadis sahih daripada Nabi SAW. Terdapat banyak tafsiran mengenai erti bid'ah. Ada pendapat yang yang terlalu ekstrim yang menghukumkan semua perkara baru yang tidak dilaksanakan oleh Nabi SAW adalah bid'ah yang sesat tanpa merujuk kepada kaedah usul fiqh yang terdapat dalam ajaran Islam sendiri. Hingga menyebabkan kekeliruan dan timbul perpecahan dan perselisihan pendapat yang menimbulkan ketegangan dikalangan umat Islam.
Ada beberapa pendekatan yang dilakukan oleh para ulama dalam mendefinisikan bid’ah. Perbedaan cara pendekatan para ulama disebabkan, apakah kata bid’ah selalu merujuk dengan kesesatan, atau bergantung kepada sesuatu keadaan  dalam ajaran Islam?
Hal ini disebabkan erti bid’ah secara bahasa adalah : 
"Sesuatu yang asing, tidak dikenal pada zaman Rasulullah SAW."  
Sehingga  pengertian bid’ah yang sesat yang dimaksudkan adalah: "Segala bentuk perbuatan atau keyakinan yang bukan dari ajaran Islam, dikesankan seolah-olah sebahagian dari ajaran Islam, seperti Ajaran Qadiyani, kaum Mu’tazilah, Qodariyah, Syi’ah, Golongan anti hadis, NGO Wanita (yang mempertikaikan poligami dan harta pusaka menurut Islam), termasuk pula kumpulan Islam Liberal dan lain-lain."

14 January 2012

'Berambuslah wahai syaitan-Nasihat Syeikh Abdul Qadir al-Jilani

Keluasan ilmu agama dan perhatian yang mendalam terhadap Sunnah Rasulullah s.a.w, dengan izin Allah telah membuka rahsia alam Malakut kepada Abd al-Qadir al Jilani.


Beliau telah sampai ke martabat di mana perbezaan antara hak dan batil, ilham illahi dengan bisikkan syaitan, tlah menjadi perkara yang sejati dengan jiwanya. Beliau telah memperolehi ilmu Yaqin bahawa syariah Nabi yang terakhir adalah sempurna dan tidak boleh diubah, dan bahawa apa  jua dakwaan yang berlawanan dengan hakikat tersebut adalah bisikkan syaitan semata-mata. Abd al-Qadir sendiri menyebutka suatu peristiwa yang belaku pada dirinya.


Beliau berkata: "Pada suatu ketika, saya ternampak suatu cahaya terang benderang yang memenuhi seluruh langit. Kemudian suatu bentuk manusia kelihatan di dalamnya dan ia berkata: 'Wahai Abd. al-Qadir, akulah Allah, Tuhanmu. Aku telah menghalalkan segala perkara yang haram bagimu.' Saya menjawab: 'Berambuslah wahai syaitan.' Sebaik sahaja saya mengucapkan kata tersebut, cahaya di langit tadi bertukar menjadi gelap dan bentuk manusia itu mendesir menjadi asap. Kemudian saya terdengar orang berkata: 'Wahai Abd al-Qadir, aku telah menyesatkan tujuh puluh Ahli al-Sufi dengan cara ini, tetapi Allah telah menyelamatkan kamu disebabkan ilmu dan takwamu'. Mendengar kata itu, saya pun membalas: 'Tidak. Itu cuma rahmat Allah s.w.t.' "


Sesudah Abd al-Qadir menceritakan peristiwa tersebut salah seorang pendengar bertanya: "Bagaimana kamu tahu bahawa itu adalah syaitan?' "Ketika dia berkata bahawa dia telah menghalalkan bagi saya perkara haram." Jawab Abd al-Qadir. Beliau selalu memberitahu muridnya bahawa apa-apa amalan yang bercanggah dengan suruhan Allah, maka sudah tentu itu adalah amalan daripada syaitan. Dalam hal demikian hendaklah seseorang kembali kepada ajaran syariat, mengukuhkan iman dan melawan kecenderungan nafsu dengan bersungguh-sungguh. Apa jua yang tidak dibenarkan oleh syarak sudah tentu menyesatkan.


Petikan dari buku Himpunan Hadis Modal Insan -Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.

12 January 2012

Nak kenal Dr Zulkifli al-Bakri


Nak kenal Tasawuf.....kupasan dari Dr.Zulkifli Mohamad al-Bakri
http://musafirmasa.blogspot.com/2012/01/nak-kenal-tokoh-ini.html

Ibu Tentera Fisabilillah

Seorang sahabat yang mulia bernama al-Khansa' al-Nakha'iyah r.ha yang bergegas menuju peperangan al-Qadisiyah, sementara orang lain sudah berbaris untuk berperang. Kaum Muslimin berada di satu tempat dan kaum kafir juga berada disatu tempat yang lain. Kedua pasukkan tentera saling berhadapan. Hizbullah(tentera Allah) berada di satu sudut sementara Hizbu Syaitan (tentera syaitan) berada pada sudut yang lain,bendera "La illaha ill lallah" ditinggalkan disini, sementara bendera kebatillan ditinggalkan di sana.


Maka al-Khansa' mengadap kiblat seraya mengangkat tangan dan berdoa: "Ya Allah, pada ketika ini saya tidak mempunyai sesuatu yang lebih berharga daripada keempat-empat anak yang saya miliki. Ya Allah, saya telah menyerahkan mereka semua kepadaMu, ya Allah! Berikan kepada mereka al-Syahadah(mati syahid) pada hari ini."


Al-Khansa' mendatangi keempat-empat orang anaknya. Padahal dia tidak lagi mempunyai orang yang akan memberi nafkah untuknya selain daripada mereka. Dan dia tidak ada orang yang paling dia cinta selain daripada keempat-empat anak itu, sementara bapa mereka sudah meninggal dunia.


Al-Khansa' berkata kepada mereka: "Wahai anak-anakku! Berangkatlah kalian, mandilah dan pakailah kain kafan kalian, kalian mesti berani menghadapi kematian!" Mereka pun bergegas pergi mandi dan memakai kain kafan, lalu mereka mendatangi ibu tercinta. Al-Khansa' berkata kepada mereka: "Demi Allah, saya tidak berkhianat kepad baoa kalian dan saya tidak menipu bapa saudara kalian. Demi Allah, kalian ini adalah anak-anak dari seorang lelaki(pejuang). Sesungguhnya saya sudah berniat kerana Allah untuk mengikhlaskan kalian pada hari kelak dan mempersembahkan kalian pada hari ini. Apabila kalian berangkat, ikhlaskan niat hanya untuk "La illa ha ill lallah" semata-mata dan saya tidak akan melihat kalian lagi kecuali pada hari kiamat kelak."


Tatkala peperangan berakhir, orang ramai pun memberikan khabar gembira kepadanya. Mereka berkata: "Sesungguhnya keempat-empat anakmu telah mati syahid." Dia pun tersenyum bahagia. Ini adalah kegembiraan seorang hamba yang beriman.


Seorang penyair berkata:
Kegembiraan telah meresapi diriku sehingga besar luapan,
Sehingga kegembiraanku membuat aku menangis. 


Al-Khansa' berkata: "Segala puji bagi Allah yang telah meninggikan darjat saya! Ya Allah, terimalah mereka di sisiMu." Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Syu'ara' ayat 88-89 yang bermaksud: "(Iaitu) pada hari harta, dan anak-anak lelaki tidak berguna kecuali orang-orang yang mengadap Allah dengan hati yang bersih."


Wallahualam.

3 Pesanan Iblis



Iblis datang kepada Nabi Musa a.s dan berkata:"Engkau yang dipilih oleh Allah rasulNya dan Kalimullah, sedangkan aku seorang makhluk biasa, yang ingin bertaubat kepada Tuhan. Maka tolonglah aku, semoga taubatku diterima." Nabi Musa a.s merasa gembira lalu ia berwuduk dan sembahyang kemudian ia berdoa: "Ya Tuhan, Iblis adalah makhlukMu dan dia ingin bertaubat, maka terimalah taubatnya." Maka diturunkan wahyu kepada Nabi Musa:"Ya Musa, dia tidak akan bertaubat." Jawab Musa:" Ya Tuhan, dia mahu bertaubat." Maka turun wahyu kepada Musa, :"Aku telah menerima permintaanmu Musa, maka suruhlah ia sujud kepada kubur Adam, maka Aku akan menerima taubatnya."


Nabi Musa sangat gembira dan menyampaikan suara wahyu itu kepada iblis, tiba-tiba iblis marah dan sombong serta berkata: "Aku tidak sujud kepadanya pada masa hidupnya, bagaimana akan sujud sesudah matinya?" Lalu iblis berkata: "Hai Musa, kerana engkau telah menolongku, maka kini engkau berhak menerima hadiah daripadaku, maka aku berpesan kepadamu tiga perkara:


  1. Ingatlah kepadaku ketika marah, sebab aku di dalam tubuhmu mengikut saluran darah.
  2. Ingatlah kepadaku ketika menghadapi musuh ketika perang, sebab aku datang kepada anak Adam mengingatkan kepadanya keadaan isteri, anak, hartanya sehingga dia lari ke belakang.
  3. Awaslah, jangan duduk sendirian dengan wanita yang bukan mahram, sebab aku sebagai utusannya kepadamu dan utusanmu kepadanya.


---------------------------------------------------

10 January 2012

Lima Syarat

Abu Laith al-Samarqandi didalam kitabnya Tanbih al-Ghafilin berkata bahawa seorang yang ingin menjalankan amar makruf dan nahi munkar harus melengkapi lima syarat:

  1. Berilmu, sebab orang yang bodoh tidak memahami makruf dan munkar
  2. Ikhlas kerana Allah dan menegakkan agama
  3. Kasih sayang kepada yang dinasihati, dengan baik dan ramah mesra dan jangan menggunakan kekerasan sebab Allah telah menyebut dalam kisah Lukman a.s yang bermaksud: "Anjurkan kebaikan dan cegahlah yang mungkar dan sabarlah segala penderitaanmu."
  4. Mesti mengerjakan apa-apa yang dianjurkan supaya tidak dikeji orang atas perbuatannya sendiri sehigga tidak termasuk firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 44 yang bermaksud: "Apakah kamu mengajurkan kebaikan kepada orang lain tetapi melupakan dirimu sendiri." 

5 cara Tafakur

Abu Laith berkata bahawa jika seseorang ingin mencapai fadilat tafakur maka hendaklah berfikir dalam lima cara:
  1. Memikirkan ayat-ayat yang membuktikan kebesaran dan kekuasaan Allah
  2. Memikirkan nikmat pemberian Allah
  3. Memikirkan pahala yang dijanjikan oleh Allah
  4. Memikirkan seksaan hukuman Allah
  5. Memikirkan apa yang diredhai dan dimurkai Allah



Kain basahan di bawa mandi
Setelah mandi di bawa pulang
Amal ibadah dibawa mati
Harta yang banyak di ambil orang.



Kayu ara di tepi laut
Jatuh sebiji di makan ikan
Kalau datang Malaikat Maut
Ke mana nyawa nak disembunyikan.

Burung layang terbang melayang
Hinggapnya di kayu jati
Untungnya orang yang bersembahyang
Mukanya jernih hatinya suci




Solatlah engkau sebelum disolatkan
Menangislah kamu sebelum kamu ditangisi
Mandilah dirimu sebelum dimandikan
Hisablah dirimu selagi diatas dunia 
Sebelum dihisab Allah di padang Mahsyar nanti.

Karya Prof. HAMKA

08 January 2012

Tabir cahaya dan kegelapan (Nasihat Syeikh Abdul Qadir al-Jilani)


Allah berfirman: “Sesiapa yang buta di dunia, buta juga di akhirat.” (QS Bani Israil: 72) 
Bukan buta mata yang di kepala tetapi buta mata yang di hati yang menghalang seseorang daripada melihat cahaya hari akhirat.
Firman Allah: “Bukan matanya yang buta, tetapi hatinya yang di dalam dada.” (QS Hajj: 46)
Hati menjadi buta disebabkan oleh kelalaian, yang membuatkan seseorang lupa kepada Allah dan lupa kepada kewajipan mereka, tujuan mereka, ikrar mereka dengan Allah, ketika mereka masih berada di dalam dunia. Sebab utama kelalaian adalah kejahilan terhadap hakikat (kebenaran) undang-undang dan peraturan Tuhan. Apa yang menyebabkan seseorang itu berterusan di dalam kejahilan ialah kegelapan yang menyeluruh menutupi seseorang dari luar dan sepenuhnya menguasai batinnya. Sebahagian daripada nilai-nilai itu yang mendatangkan kegelapan ialah sifat-sifat angkuh, sombong, megah, dengki, bakhil, dendam, bohong, mengumpat, fitnah dan lain-lain sifat keji. Sifat-sifat yang keji itulah yang merendahkan ciptaan Tuhan yang sangat baik sehingga jatuh kepada tahap yang paling rendah.

“BERTEMU ALLAH”


Solat itu bukan sekadar yakin adanya Allah dan yakin pada Allah TETAPI yakin SEDANG bertemu dengan Allah. Seandainya masuk ke dalam keadaan “BERTEMU ALLAH” pasti solat kita akan benar. Di ketika berada dalam keadaan “BERTEMU ALLAH” ini, kita sedang berada dalam khusyuk, iaitu asyik dengan Allah.
Ketika waktu solat tiba, sedarilah bahawa kita ingin bertemu Allah. Jika sekadar sedar aku ingin solat, kita tidak berasa tujuan kita saat itu adalah untuk bertemu Allah. Seandainya sedar kita dalam tujuan bertemu Allah, pasti kita akan benar-benar bersedia untuk bertemu Allah. Kita akan mengambil wudhuk dengan benar kerana kita ingin bertemu Allah… Tuhan kita. Bukan kawan-kawan. Bukan mak ayah. Tapi Allah… TUHAN!!
Lalu ketika kita sedang berdiri, pasti kita benar akan mendirikan solat dalam sedar dan penuh dengan hormat kerana kita sedar kita sedang bertemu Allah.

Belajar Tentang Ikhlas



“Mari ku ajarkan mu tentang ikhlas,” kata seorang guru kepada muridnya.
“Nanti saya ambilkan buku dan pena untuk menulisnya.”
“Tak payah, bawa sahaja karung guni.”
“Karung guni?” soal anak muridnya, seperti tidak percaya.
“Mari kita ke pasar!”kata seorang guru
Dalam perjalanan ke pasar mereka berdua melalui jalan yang berbatu-batu.
“Kutip batu-batu yang besar dan masukkan ke dalam guni yang kau bawa itu,” kata guru itu memberi arahan.
Tanpa soal, anak muridnya memasukkan batu-batu besar yang mereka temui sepanjang jalan.
“Cukup?”
“Belum, isi sampai penuh karung guni itu. Lebih banyak lebih baik.
Sampai di pasar, mereka berdua tidak membeli apa-apa pun. Gurunya hanya berlegar-legar, melihat-lihat dan kemudiannya mula beredar ke luar.
“Tok guru, kita tidak beli apa-apa kah?”
“Tidak. Bukankah karung guni mu telah penuh?”
“Ya, ya…” kata murid itu sambil memikul guni yang berat itu kelelahan.
“Banyak beli barang,” tegur seorang kenalan apabila melihat anak murid itu memikul guni yang berisi penuh dengan batu-batu.
“Wah, tentu mereka berdua ini orang kaya. Banyak sungguh barang yang mereka beli,” bisik orang lalu-lalang apabila melihat guru dan anak murid tersebut.
“Agaknya, mereka hendak buat kenduri dengan barang-barang yang banyak itu,” kata orang yang lain.

04 January 2012

Ikhlas

Daripada Amir al-Mukminin Abi Hafs, Umar bin al-Khattab r.a katanya, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan RasulNya maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau kerana perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya."

(hadis sahih diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab Sahihnya, Muslim 1907, Abu Daud 2201, al-Tirmizi 1646, Ibn Majah 4227, al-Nasa'i 1/59, Imam Ahmad dalam al-Musnad 1/25 dan 43, al-Daraqutni, Ibn Hibban dan Baihaqi,)

Pengajaran hadis
Ikhlas ialah sesuatu yang termulia bagi setiap amalan ibadat. Amal yang berdasarkan kepada niat yang baik dan ikhlas diterima Allah dan diberi ganjaran nya. Imam Nawawi r.h dalam keterangannya mengenai amal yang disertakan dengan niat yang baik , telah berkata bahawa amal ini ada tiga bahagian iaitu:
  1. Amal yang dikerjakan kerana takut kepada Allah s.w.t. Amal ini dinamakan ibadat hamba.
  2. Amal yang dikerjakan kerana mendapatkan syurga dan pahala. Amal ini dinamakan ibadat saudagar.
  3. Amal yang dikerjakan kerana malu kepada Allah s.w.t dan kerana dilaksanakan hak kehambaan dan membuktikan kesyukuran serta merasakan diri sebagai seorang yang masih dalam kecuaian dan kebimbangan yang penuh ketakutan kerana tidak tahu adakah amalnya diterima atau tidak. Amal ini dinamakan ibadat yang merdeka.
petikan dari buku Himpunan Hadis Modal Insan karangan Dr.Zulkifli Mohamad al-Bakri (2007)


Berkata Syaikh Abdul Malik, “Ikhlas itu bukan hanya terbatas pada urusan amalan-amalan ibadah bahkan ia juga berkaitan dengan dakwah kepada Allah. Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam saja (tetap) diperintahkan oleh Allah untuk ikhlas dalam dakwahnya”.*

Ada baik dibaca juga.....