29 November 2011

Seruan bumi dan kubur


Menurut Imam Anas bin Malik r.a., bumi ini menyeru manusia setiap hari dengan 10 panggilan:
1. "Wahai anak cucu Adam, kamu berjalan di atasku, ingatlah tempat kembalimu di dalam perutku."
2. "Kamu melakukan maksiat dan dosa-dosa di atasku, ingatlah kamu akan diseksa dalam perutku."
3. "Kamu bergurau senda di atasku, ingatlah kamu akan menangis di dalam perutku."
4. "Kamu memakan barang haram di atasku, ingatlah cacing akan memakan kamu di dalam perutku."
5. "Kamu bergembira di atasku, ingatlah kamu akan merasa susah dalam perutku."
6. "Kamu menggunakan barang-barang haram di atasku, ingatlah kamu akan hancur dalam perutku."
7. "Kamu bersikap sombong di atasku, ingatlah kamu akan menjadi hina dina dalam perutku."
8. "Kamu berjalan dengan bersukaria di atasku, ingatlah kamu akan merasa kesedihan dalam perutku."
9. "Kamu berjalan diterangi cahaya di atasku, ingatlah kamu akan kegelapan di dalam perutku."
10. "Kamu berada dalam keramaian di atasku, ingatlah kamu akan duduk bersendirian dalam perutku."
Setiap hari kubur akan memanggil manusia sebanyak 5 kali:
1. "Aku adalah rumah yang sunyi dan keseorangan. Bagi memeriahkannya hendaklah kamu membaca Al-Quran."
2. "Aku adalah rumah yang gelap gelita. Terangilah aku dengan sembahyang malam."
3. "Aku adalah rumah yang dipenuhi dengan habuk dan debu. Hendaklah kamu membawa bekal taqwa dan amal-amal soleh."
4. "Aku adalah rumah yang dipenuhi ular. Bawalah pendinding iaitu bacaan ‘Bismillahirrahmanirrahim' hingga mencucurkan air mata."
5. "Aku adalah rumah pertanyaan Mungkar Nakir. Perbanyakkanlah membaca ‘Laa ilaaha illallah, Muhammadur Rasulullah’ agar kamu dapat memberi jawapan kepadanya."
Firman Allah SWT: "Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan." (QS Al-Jumu'ah: 8)
Allah SWT juga berfirman: "Dan sesungguhnya hari kiamat itu pasti datang, tidak ada keraguan padanya; dan bahawasanya Allah membangkitkan semua orang di dalam kubur." (QS Al-Hajj: 7)
Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya alam kubur itu adalah tahap pertama untuk alam akhirat." (HR Tirmidzi, Ibnu Majah dan Al-Hakim)
Rasulullah SAW juga bersabda: "Apabila seseorang itu sudah mati, maka diperlihatkan kepadanya tempat di mana ia akan duduk, pada setiap pagi dan petang. Jika ia termasuk ahli syurga, maka ia (melihat) syurga, dan apabila ia termasuk ahli neraka, maka ia pun (melihat) neraka." Sabda Nabi lagi: "Kemudian dikatakan: "Inilah tempatmu yang dibangkitkan di Hari Kiamat." (HR Muslim)

08 November 2011

LAWAN NAFSU MU!


LAWAN NAFSU MU!
Bagaimana keadaan kita jika terlihat seekor lipan di hujung kaki tetapi kemudian terpandang seekor harimau tidak berapa jauh daripada kita? Apakah kita masih memikirkan bahaya lipan atau bahaya harimau. Ya, tentu sahaja kita akan berikhtiar untuk menyelamatkan diri daripada bahaya harimau. Walaupun lipan dekat, tetapi gigitannya tidaklah seganas cengkaman harimau. Begitulah perumpamaan antara bahaya nafsu dengan bahaya-bahaya yang lain. Nafsu akan menyebabkan kita lebih rasa menderita. Bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat.
Malangnya, hal yang sepenting itu tidak dititik-beratkan. Kejahatan hawa nafsu, sifat-sifat dan kaedah melawannya hampir tidak pernah dibicarakan. Padahal, nafsu itulah angkara segala kejahatan yang kita deritai kini. Sebut sahaja, apa kejahatannya, pasti dalangnya adalah hawa nafsu.
Kita sibuk memperketat kawalan, disiplin dan undang-undang tetapi membiarkan puncanya berkembang subur dan membiak. Mampukah pagar yang rapuh mengawal binatang buas yang bilangannya kian banyak dan tenaganya semakin kuat? Begitulah bandingannya undang-undang ciptaan manusia dengan kejahatan hawa nafsu.
Undang-undang walaupun sehebat mana pun tidak akan berkesan jika nafsu tidak dijinakkan terlebih dahulu. Pagar itu akan diterjah dan rebah dipijak dan diinjak menyebabkan kita terpaksa membina pagar demi pagar, berulang-kali.

Ada baik dibaca juga.....