22 March 2013

Fatwa Jakim


Alkohol Dalam Makanan, Minuman, Pewangi Dan Ubat-Ubatan


Berdasarkan taklimat, pembentangan dan penjelasan yang disampaikan oleh pakar-pakar daripada Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia serta dengan mengambilkira keputusan-keputusan yang telah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia terdahulu, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan isu alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 telah bersetuju memutuskan seperti berikut:
  1. Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walaubagaimanapun bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperolehi dari proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.
     
  2. Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.
     
  3. Minuman ringan yang diproses/dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyaialkohol di bawah aras 1%v/v adalah harus (boleh) diminum.
     
  4. Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.
     
  5. Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh ) dimakan/diminum
     
  6. Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuktujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.
     
  7. Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dandiharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.
     

Apa Itu Fatwa?



Definisi Fatwa
Pada bahasa ia diambil daripada afta-ifta'an yang memberi maksud menjelas dan menghuraikan hukum permasalahan.

Dari Segi Istilah
Pada istilahnya pula, fatwa mempunyai pelbagai definisi antaranya:
Fatwa adalah sebagai jawapan yang dibuat oleh mufti pada perkara yang berlaku apabila diajukan soalan kepadanya.
Fatwa ialah mengkhabarkan hukum Allah SWT sama ada pada yang mesti atau harus.

Peruntukan Mengenai Fatwa Dalam Undang-Undang

Di dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505], peruntukan mengenai fatwa dijelaskan di bawah Seksyen 34 iaitu:

Maksud Fatwa iaitu pendapat atas apa-apa persoalan yang belum diselesaikan atau yang  menimbulkan pertikaian mengenai atau berhubung dengan Hukum Syarak;

Mengenai bila sesuatu fatwa itu boleh dibuat, iaitu apabila diperintahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, atau atas permintaan orang ramai melalui surat yang dihantar kepada Mufti, atau dibuat atas kehendak Mufti itu sendiri;

Sesuatu pernyataan yang dibuat oleh Mufti hanya boleh diambil sebagai fatwa jika pernyataan itu disiarkan dalam warta berhubung dengan Hukum Syarak;

Sesuatu fatwa yang telah disiarkan dalam warta hendaklah dipatuhi oleh semua umat Islam yang berada di negeri itu, kecuali amalan peribadi yang dibenarkan mengikut Hukum Syarak; dan

Fatwa yang diwartakan merupakan sebahagian daripada undang-undang yang perlu diikuti oleh semua Mahkamah Syariah bagi negeri itu.

Ada baik dibaca juga.....