17 October 2013

BERIMAN KEPADA ALLAH TA'ALA

Islam - sebagaimana yang telah dijelaskan- adalah agama Tauhid yakni agama yang berasaskan iman kepada keEsaan Allah Yang Maha Kuasa.  Maka ukuran sempurna atau tidaknya Islam seseorang adalah bergantung kesempurnaan Tauhidnya.

Tauhid yang sempurna itu apabila ke dalam hati nurani seseorang akan melahirkan kesan-kesannya kepada seluruh tingkah laku dan bawaan hidupnya, dan akan memberi kesedaran kepadanya untuk sentiasa waspada terhadap godaan syaitan dalam setiap amalannya supaya ia tidak diselewengkan kepada yang lain dari Azza wa Jalla. 

Boleh dikatakan sebahagian besar dari orang-orang yang mengaku dirinya beriman dan bertauhid kepada Allah dan mengakui bahawa Allah jualah yang mencipta mereka dan menciptakan langit dan bumi tetapi tauhid mereka tidak penuh membulat kepada Allah Yang Maha Esa kerana ada di antaranya -semasa mengerjakan ibadat- tujuan ibadat itu tidak bersih kepada Allah semata-mata.

Ada pula yang menumpukan taat setia kepada Allah dengan menjalankan hukum-hukum syariat-Nya tetapi serentak dengan itu mereka mengubah hukum syarak itu dengan menokok tambah atau menguranginya menurut hawa nafsunya. Semuanya itu adalah merupakan syirik.

Bagi menjelaskan setakat mana buruknya akibat syirik itu, maka di bawah ini diturunkan beberapa ayat suci dan hadis Nabi mengenainya.

Di antara ayat-ayat itu:

Firman Allah Taala ertinya: "Katakanlah (wahai Muhammad): 'Marilah supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Dia sesuatu pun ...'(151 Surah al-Maidah)


لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُواْ إِنَّ اللّهَ هُوَ الْمَسِيحُ ابْنُ مَرْيَمَ وَقَالَ الْمَسِيحُ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ اعْبُدُواْ اللّهَ رَبِّي وَرَبَّكُمْ إِنَّهُ مَن يُشْرِكْ بِاللّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللّهُ عَلَيهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ
"Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam". Padahal Al-Masih sendiri berkata:" Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim".
(72 Surah al-Maidah)


حُنَفَاء لِلَّهِ غَيْرَ مُشْرِكِينَ بِهِ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَكَأَنَّمَا خَرَّ مِنَ السَّمَاء فَتَخْطَفُهُ الطَّيْرُ أَوْ تَهْوِي بِهِ الرِّيحُ فِي مَكَانٍ سَحِيقٍ

" (Amalkanlah perkara-perkara itu) dengan tulus ikhlas kepada Allah, serta tidak mempersekutukan sesuatu pun denganNya; dan sesiapa yang mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Allah maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau dihumbankan oleh angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan).
(31, Surah al-Hajj)

"Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang salih dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya." (110 Surah al-Kahfi).

Ayat yang pertama: Menyatakan hukum melakukan syirik,  iaitu Allah s.w.t. mengharamkan manusia melakukan sebarang rupa syirik, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi. 

Ayat yang kedua: Menyatakan balasan buruk yang dijanjikan kepada orang yang melakukan syirik.

Ayat yang ketiga: Menggambarkan bagaimana dahsyatnya keadaan dan balasan orang yang melakukan syirik.

Ayat yang keempat: Menyatakan bahawa dengan amalan salih serta ketiadaan syirik sahajalah yang membolehkan seseorang berharap mendapat nikmat mengadap Tuhannya.

Perkara : Akibat Buruk Yang Akan Menimpa Orang Yang Melakukan Syirik

Dan di antara hadis-hadis pula:


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ مَاتَ يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا دَخَلَ النَّارَ.
 ( البخاري ومسلم )
Dari Abdullah bin Mas'ud r.a., katanya: Rasulullah s.a.w, bersabda: "Sesiapa mati dalam keadaan melakukan sebarang syirik terhadap Allah,  masuklah dia ke dalam neraka. "
(Bukhari dan Muslim)

Hadis yang kelima ini. menerangkan: 
Akibat buruk yang akan menimpa orang yang melakukan syirik. 
Huraiannya

Syirik ialah mempersekutukan sesuatu dengan Allah Taala pada sifat "Uluhiyah"Nya atau sifat "Rububiyyah"Nya.

Sifat "Uluhiyah" Allah `Azza wa Jalla ialah sifatNya berhak disembah, dicintai, dipatuhi perintahNya, ditumpui dan dipohonkan untuk mendapat segala kebaikan dan menolak sebarang mala petaka dan perkara-perkara yang tidak diingini.

Sifat "Rububiyyah"Nya pula ialah sifat mentadbir dan menguruskan cara menjaga dan memelihara, mengasuh dan mendidik sekalian alam yang telah diciptakan-Nya, iaitu dengan mengadakan segala keperluan yang dihajati oleh wujud tiap-tiap satunya, mengatur dan menyusun undang-undang dan peraturan bagi kesuburan, perkembangan dan kesempurnaan masing-masing, serta menyatakan dan menunjukkan hukum-hukum halal haram dan sah batal untuk kebaikan jasmani dan kebahagiaan rohani manusia. 

Maka sesiapa yang menganggap bahawa mana-mana satu dari sifat-sifat itu ada pada sesuatu yang lain daripada Allah Taala nescaya ia telah melakukan syirik dengan Allah,  walaupun ia pada masa itu masih beriman kepada Allah.  Tentang ini Allah Taala berfirman dalam Surah Yusof, ayat 106. 

maksudnya: Meskipun kebanyakan mereka beriman kepada Allah dalam pada itu mereka tidak sunyi dari perbuatan syirik.

Dengan itu nyatalah amat buruknya seseorang mendewa-dewakan sebarang makhluk dengan mengasihinya dan menurut perintahnya sebagaimana ia mencintai dan mentaati Allah,  atau meminta dan mengharapkan hasil sesuatu hajat dari sesuatu makhluk atau dengan sesuatu cara,  kecuali setelah diketahui bahawa makhluk atau cara yang tersebut diharuskan oleh Allah bagi seseorang menggunakannya sebagai jalan,  sebab, atau alat untuk menjayakan maksudnya.

Demikian juga amatlah salahnya menerima sebarang undang-undang dan peraturan,  atau hukum-hakam yang diadakan oleh yang lain daripada Allah, kecuali sekadar yang berdasarkan aturan, kenyataan, atau pengajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Kesimpulan hadis ini, mengingatkan manusia daripada terjerumus ke dalam sebarang i'tiqad atau perbuatan syirik supaya terselamat daripada balasan buruk yang dijanjikan.

Ada baik dibaca juga.....