11 March 2011

Jumaat-" Yaumu 'l-mazid "

HARI JUMAAT
Hari Jumaat mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri.Itulah sebabnya hari tersebut dinamakan"Penghulu segala hari". Hari Jumaat juga dianggap sebagai hari raya mingguan dalam Islam. Sabda Rasulullah s.a.w : "Sebaik-baik hari yang matahari terbit pada hari itu ialah hari Jumaat. Pada hari itu Adam telah dijadikan, pada hari itu juga ia dimasukkan dalam syurga, dan pada hari itulah ia dikeluarkan darinya."

Hari Jumaat juga dinamakan "Yaumu 'l-mazid" iaitu hari pemberian tambahan, kerana pada hari tersebut Allah S.W.T mengurniakan rahmat yang banyak kepada hambaNya. Segala permohonan yang diminta oleh seseorang hamba itu akan dikabulkan sekiranya permohonan itu menepati waktu yang dinamakan " Waktu Mustajab." "Waktu Mustajab" ini tidak ditentukan, boleh jadi pada waktu pagi atau petang, siang atau malam, ketika imam sedang duduk antara dua khutbah atau selepas solat Asar pada hari berkenaan. Tujuannya ialah agar hamba itu senantiasa beribadat dan berdoa kepada Allah S.W.T, bukan pada masa-masa tertentu sahaja.


Waktu mustajab pada hari Jumaat:- 

Sabda Rasulullah s.a.w:" Malaikat Jibrail a.s, telah datang kepadaku sedangkan di tapak tangannya ada sebuah cermin putih. Ia berkata: "Ini adalah hari Jumaat, yang disediakan untukmu oleh Tuhanmu, untuk menjadi satu hari raya bagimu dan umatmu selepas kau. Di tengah-tengah cermin ini ada satu titik." 
 Aku (Muhammad) bertanya : "Titik apakah itu?"
Ia menjawab : " ia adalah satu saat dari dua puluh empat jam, barang siapa berdoa kepada Allah Ta'ala pada saat itu, nescaya Allah S.W.T memperkenankan permohonannya. Ia (Jumaat) adalah penghulu semua hari."

Dari (Abu Hurairah) bahawasanya Rasulullah s.a.w menyebut-nyebut tentang hari Jumaat. Beliau bersabda: "Pada hari (Jumaat) itu ada suatu saat yang apabila bertepatan dengan seorang Islam ketika ia sedang sembahyang memohon sesuatu kepada Allah S.W.T nescaya Allah S.W.T akan memperkenankan dia. Sambil ia mengisyaratkan dengan tangannya, menunjukkan sedikitnya waktu yang dimaksudkan itu".
 
Dari Abu Burdah bin Abu Musa Al-Ashari r.a katanya:
Abdullah bin Umar r.a bertanya: "Pernahkah engkau mendengar ayahmu bercerita tentang Rasulullah s.a.w iairu mengenai Jumaat?"  
 Ia menjawab: Ya. Saya pernah mendengar dia (bapa) berkata:  
Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: 
"Ia adalah antara duduknya imam (di atas mimbar) sehingga sempurna sembahyang."
 
Bahawasanya Nabi s.a.w ada bersabda:  
"Sesungguhnya pada hari Jumaat itu ada suatu saat apabila bertepatan dengan seseorang islam memohon kepada Allah S.W.T ketika itu, Allah akan memperkenankannya, (saat itu) ialah selepas asar."
 
Nabi s.a.w ada bersabda: "Hari Jumaat itu dua belas jam. Sebahagian daripadanya ada suatu waktu yang tidak didapati padanya seseorang hamba Islam yang memohon sesuatu kepada Allah S.W.T, melainkan Allah S.W.T memberi akan dia, carilah dia pada akhir waktu, sesudah asar."

Abu Salamah bin Abdul Rahman berkata:"Bahawa sekumpulan manusia yang terdiri daripada sahabat Rasulullah s.a.w duduk berkumpul, lalu mereka membincangkan tentang masa yang terdapat pada hari Jumaat. Mereka kemudian pergi (sesudah menetapkan) bahawa saat itu ialah pada akhir waktu dari hari Jumaat." 
Dalam hadis yang lain....
Nabi s.a.w bersabda:
"Apabila  datang hari Jumaat, Allah ta'ala mengutus malaikat ke muka bumi. Di tangan mereka ada kalam-kalam emas dan kertas daripada perak. Mereka berdiri di pintu-pintu masjid dan menulis nama merka yang masuk masjid dan bersembahyang Jumaat. Apabila sempurna sembahyang, mereka semua naik ke langit dan berkata:"Wahai Tuhan kami, kami telah tulis nama mereka yang masuk masjid dan bersembahyang Jumaat." 

Allah ta'ala menjawab: "Wahai malaikatKu, demi keagungan dan kebesaranKu, sesungguhnya Aku telah ampuni mereka dan mereka sudah tidak berdosa."

Dalam hadis yang lain pula.... 
Nabi s.a.w bersabda:
"Penghulu segala hari ialah hari Jumaat. Itulah hari yang teragong di sisi Allah Ta'ala dan (ia) adalah lebih besar daripada Hari Raya Fitrah dan Raya Qurban. Pada hari itu terjadi lima peristiwa: Allah azza wa jalla menjadikan Nabi Adam a.s, Allah Ta'ala menurunkan Nabi Adam a.s ke bumi, pada hari tersebut Allah Ta'ala mematikan Nabi Adam a.s, pada hari Jumaat itu juga ada satu saat yang tidak ada seorang hambapun yang memohon sesuatu, kecuali Allah Ta'ala akan memperkenankan permohonannya selagi ia tidak meminta sesuatu yang haram. Pada hari itu juga terjadinya hari kiamat. Tidak ada seorang malaikat pun sekalipun yang amat dekat kedudukkannya (di sisi Allah), langit, bumi, angin, gunung, juga lautan, melainkan semuanya memohon belas kasihan pada hari Jumaat."

Diantara amalan yang patut dilakukan pada hari Jumaat ialah:

i. Membaca Al-Quran. Diantaranya surah Al-Kahf. 
Ini dijelaskan dalam sebuah hadis yang berbunyi:"Barang siapa membaca suruh Al-Kahf pada hari Jumaat, maka memancarlah cahaya dari bawah tapak kakinya higga ke puncak langit. Cahaya itu terus menyinarinya pada hari kiamat dan diampunkan untuknya antara dua Jumaat."
Menurut sebuah hadis lain, Rasulullah s.a.w bersabda :
"Barangsiapa mandi pada hari Jumaat necaya diampunkan dosa-dosanya dan apabila ia berjalan untuk mengerjakan sembahyang Jumaat, Allah Ta'ala meulis untuknya ganjaran ibadah dua puluh tahun bagi setiap langkah dan apabila ia sembahyang Jumaat ia akan diberi balasan amalan selama dua ratus tahun."

Namun demikian, ganjaran pahala yang diberi oleh Allah s.w.t itu bergantung kepada kehadiran diri seseorang yang terlibat di masjid. Orang yang datang awal mendapat ganjaran lebih berbanding mereka yang datang lewat.
Rasulullah s.a.w ada bersabda yang bermaksud:
" Barangsiapa pergi sembahyang Jumaat pada masa Pertama, ia seakan-akan mengorbankan seekor unta. Barangsiapa berangkat masa Kedua, ia seakan-akan mengorbankan seekor lembu betina. Barangsiapa pergi pada waktu Ketiga, ia seolah-olah mengorbankan seekor kibas. Barangsiapa pergi pada waktu Ke Empat, ia seolah-olah telah menghadiahkan seekor ayam. Barangsiapa pergi pada waktu Kelima, ia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur. Apabila imam naik atas mimbar, maka kertas catatan pun ditutup dan pena juga diangkat. Para malaikat sama-sama berkumpul berhaampiran mimbar mendengar kutbah. Barangsiapa datang selepas itu, ia seolah-olah datang hanya untuk melakukan hak sembahyang."

"Barangsiapa membaca surah Al-Kahf di malam Jumaat dan di siang Jumaat Allah S.W.T akan mengampuni dosa-dosanya hingga ke Jumaat yang lain, dan memohon kesejahteraan baginya tujuh puluh ribu malaikat hingga ke pagi, dan ia dipelihara dari penyakit sopak, sakit kusta dan fitnah dajal."

ii. Memperbanyakkan zikir pada pagi hari.
"Astarfirullah hal azim al lazi la illaha illa hu wal hayyul qaiyumu atubu ilaihi."

iii. Memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w
Allah S.W.T juga mengampunkan dosa-dosa mereka yang mandi sunat pada hari Jumaat, manakala setiap langkahnya menuju ke masjid itu dibalas dengan kebajikan jua.

iv.Mandi pada hari Jumaat
Dari Abu Bakar r.a menyakatakn bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Barangsiapa mandi pada hari Jumaat necaya diampunkan dosa-dosanya dan apabila ia berjalan untuk mengerjakan sembahyang Jumaat, Allah Ta'ala meulis untuknya ganjaran ibadah dua puluh tahun bagi setiap langkah dan apabila ia sembahyang Jumaat ia akan diberi balasan amalan selama dua ratus tahun."

v.Wirid Selepas Solat Jumaat

Membaca surah Al-Fatihah 7 kali, al-Ikhlas 7 kali, Surah al-Falaq 7 kali, Surah an-Nas 7 kali.
 Daripada Aisyah r.a,baginda telah bersabda yang bermaksud:
"Barang siapa membaca selepas sembahyang Jumaat sebanyak tujuh kali nescaya Allah azza wa jalla melindunginya daripada setiap kejahatan sehingga Jumaat yang berikutnya.

Kemudian  membaca doa sebanyak 70 kali atau sekurang-kurangnya sebanyak 3 kali. 
Yang bermaksud: 
"Ya Allah, wahai Tuhan yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji, wahai Tuhan yang mencipta sesuatu dari permulaannya, wahai Tuhan yang mengembalikan hidup sesuatu, wahai Tuhan yang Maha Pemurah lagi Penyayang, limpahkanlah kecukupan padaku dengan barang-barang yang halal hingga aku tidak memerlukan barang yang haram, perkayakan daku dengan keutamaanMu daripada segala sesuatu yang lain dariMu".


Petikkan daripada buku Taqarrub-Amalan Menghampirkan Diri Pada Illahi
Dr.Amran Kasimin (1991)

No comments:

Ada baik dibaca juga.....