03 July 2013

Fadhilat Orang Berpuasa

Fadhilat bagi orang yang berpuasa akan mendapat beberapa ganjaran yang tidak ternilainya, antaranya ialah:

Doa Mustajab:
Daripada Ibn Umar r.a, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika berbuka, mempunyai doa mustajab yang pasti tidak ditolak." 
(Riwayat Ibn Majah dan al-Hakim dalam al-Mustadrak)

Berada dalam Ibadat
Daripada Anas r.a, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang yang berpuasa berada dalam ibadah, sekalipun dia sedang tidur atas tilamnya".
(Riwayat al-Dailami)

Tidak Dicela
Daripada Abu Hurairah r.a katanya:
"Tiga golongan tidak dicela sekalipun buruk rupanya: Orang yang sakit, orang yang berpuasa sehingga berbuka dan pemerintah yang adil".
(Riwayat al-Dailami)

Masuk Syurga Melalui Pintu Rayyan
Daripada Sahal bin Sa'd r.a, bahawa Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama al-Rayyan khusus untuk ahli puasa memasuki syurga melaluinya pada hari kiamat kelak. Selain mereka tidak dibenarkan masuk".
(Riwayat Ahmad, Al-Bukhari dan Muslim)

Dapat Menikmati Buah-Buahan syurga
Daripada Anas r.a katanya:
"Siapa yang ditegah oleh puasanya daripada makan dan minum yang dia berkehendak, nescaya Allah beri makannya daripada buah-buahan syurga dan beri minum padanya daripada minuman syurga".
(Riwayat al-Baihaqi)

Mendapat kesihatan
Daripada Ali k.w.j bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Bahawa Allah S.W.T mewahyukan kepada seorang nabi dari kalangan Bani Israel seraya berfirman: Khabarkan kepada kaummu bahawa tiada seorang hamba yang berpuasa sehari semata-mata kerana-Ku kecuali Aku sihatkan tubuh badanya dan Aku besarkan ganjarannya".
(Riwayat al-Baihaqi. Hadis seumpama ini juga diriwayatkan oleh Abu Syaikh dalam kitabnya al-Thawab oleh al-Dailami dan al-Rafie daripada Abi Darda' Lihat Kanz al-Ummal (23633)  )

Amalan mereka digandakan
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya amalan orang berpuasa digandakan". 
(Diriwayatkan al-Hafiz Ibn Rejab)

Allah SWT sahaja yang membalas pahala mereka yang berpuasa
Mengikut hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar secara marfu':
"Puasa kerana Allah tidak diketahui pahala amalnya kecuali Allah Azza wa Jalla".


Allah menjarakkan mereka daripada Api Neraka
Ada dua riwayat tentang jarak mereka yang berpuasa dari api neraka, sama ada 70 tahun atau 100 tahun.
1. Daripada Ibn Majah katanya sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: 
"Siapa yang berpuasa sehari pada jalan Allah, nescaya Allah jarakkannya daripada bahang neraka jahannam 70 tahun". 
(Riwayat al-Nasaie dan Ibn Majah)

2. Daripada Uqbah bin Amir katanya:
"Siapa yang berpuasa sehari pada jalan Allah, nescaya Allah jarakkannya dari neraka jahannam selama 100 tahun."
( Riwayat al-Nasaie )

Petikkan dari buku
Ramadhan Pelbagai Hukum dan Fatwa Berpuasa
Oleh Dr.Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

No comments:

Ada baik dibaca juga.....