04 October 2012

Ya Rasulullah kami ingin menjadi saudaramu!!


Dari Anas ibn Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Aku berkeinginan untuk bertemu dengan saudara-saudaraku". 
Para sahabat berkata, "Tidakkah kami ini saudara-saudara tuan"?
Baginda SAW menjawab:  "Kamu adalah sahabatku, tetapi saudara-saudaraku ialah orang-orang yang beriman kepadaku, walaupun mereka tidak melihat aku".
 (HR Ahmad)

Allah berfirman didalam kitab suci Al-Quran:


إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰٓٮِٕڪَتَهُ ۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّۚ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا

 56 سُوۡرَةُ الاٴحزَاب

"Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah al-Ahzab 56)

Selawat  adalah jamak dari kalimat solat. Selawat menurut bahasa ertinya ialah doa, rahmat dari Allah S.W.T memberi berkah dan ibadat.

Selawat kepada nabi terdiri dari 3 macam tingkatan:

  1. Selawat Allah kepada Nabi dan RasulNya, istimewa kepada Nabi Muhammad s.a.w. Bererti Allah memberi rahmat, memuji dan melahirkan keutamaan serta mendekatkan Nabi Muhammad s.a.w kepadaNya.
  2. Selawat para Malaikat kepada Nabi dan Rasul dan nabi Muhammad s.a.w bererti malaikat-malaikat mendoakan atau memohon rahmat kemuliaan serta keampunan.
  3. Selawat manusia kepada Nabi Muhammad s.a.w bererti mengakui kerasulannya, memohon kepada Allah melahirkan keutamaan, kemuliaan dan mengakui serta mengikut kebenaran ajaran yang dibawanya.
Hukum membaca selawat para ulama telah memberi berbagai pendapat tentang hukum membaca selawat ke atas Rasulullah s.a.w diantaranya:


  1. Imam Syafie mengatakan, selawat itu wajib dibacakan dalam tasyahud akhir, iaitu diantara tasyahud(tahiyyat) dan salam.
  2. Imam Asy-Sya'bi berpendapat, selawat wajib dibaca dalam sembahyang dalam kedua-dua tasyahud awal dan akhir.
  3. Abu Jaafar Al-Baqir mengatakan, selawat wajib dibaca di dalam sembahyang sama ada dalam tasyahud awal atau akhir.
  4. Abu Bakar ibnu Al-Baqir berpendapat, selawat wajib dibaca tanpa mengira bilangannya.
  5. Abu Bakar Ar-Razi dan Ibnu Hazmin berpendapat, berselawat wajib dalam seumur hidup walaupun hanya sekali.
  6. At-Thahawi berpendapat, berselawat wajib apabila seseorang mendengar orang menyebut nama Nabi Muhammad s.a.w
  7. Az-Zamakhsyari berpendapat, berselawat wajib dibaca pada tiap-tiap sesuatu majlis.
  8. Ibnu Jarir At-Thabari berpendapat, berselawat kepada Nabi adalah suatu pekerjaan yang disukai sahaja.
  9. Ibnu Qashshar berpendapat, berselawat kepada Nabi suatu ibadah wajib.
Dalil hadis tentang berselawat.

  1. Dari Ibnu Mas'ud r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:" Orang yang terdekat denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak beselawat kepadaku". (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)
  2. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Berselawat atas para Nabi Allah dan utusanNya sebagaimana kamu semua berselawat kepadaku kerana mereka itu sama diutuskan sebagaimana aku diutus." (Hadis Riwayat Ahmad dan Al-Khatib)
  3. Dari Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda:"Janganlah kamu jadikan kuburku sebagai tempat perayaan dan berselawatlah kepadaku, maka sesungguhnya bacaan selawatmu itu akan sampai kepadaku di mana sahaja kamu berada." (Hadis Riwayat Abu Daud)
  4. Sabda Rasulullah s.a.w :"Tiada dari seseorang yang mengucapkan salam kepadaku melainkan Allah menerima ruhku sehingga aku menjawab salam kepadanya." (Hadis Riwayat Abu Daud)
Waktu-waktu berselawat.

  1. Ketika hendak masuk kedalam masjid dan ketika hendak keluar masjid. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:"Apabila seseorang kamu masuk ke dalam masjid, maka hendaklah ia membaca salam kepadaku (selawat dan salam). Sesudah itu berdoa:Wahai Tuhanku, bukakanlah untukku segala pintu rahmatMu. Dan apabila ia hendak keluar hendaklah berdoa: Wahai Tuhanku, aku memohon kepadamu limpahan rahmatMu." (Hadis Riwayat Abu Daud)
  2. Sesudah azan. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:"Apabila kamu mendengar mu'azzin yang menyerukan azan, maka jawablah dengan bacaan yang sama ia baca. Setelah selesai maka berselawatlah kamu kepadaku."(Hadis Riwayat Ahmad dan Muslim)
  3. Sesudah membaca tasyahud akhir dalam sembahyang.
  4. Di dalam sembahyang jenazah
  5. Di antara takbir-takbir sembahyang sunat hari raya
  6. Di permulaan dan akhir doa.Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:"Sesungguhnya doa itu berhenti antara langit dan bumi, tidak naik, barang sedikit jua daripadanya sehingga kamu berselawat kepada Nabimu."(Hadis Riwayat At-Tirmidzi)
  7. Di akhir qunut dalam sembahyang
  8. Di malam dan di hari Jumaat. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:"Banyakkanlah olehmu membaca selawat di malam hari Jumaat dan siangnya kerana selawat itu dikemukakan kepadaku."(Hadis Riwayat Thabarani)
  9. Di dalam khutbah Jumaat
  10. Ketika berziarah di makam atau kubur Nabi Muhammad s.a.w. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:"Tidak seorang pun di antara kamu yang memberi salam iaitu di sisi kuburku, melainkan Allah mengembalikan kepadaku ruhku untuk menjawab salamnya."(Hadis Riwayat Abu Daud)
  11. Sesudah bertalbiah.Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:"Memang disuruh seseorang membaca selawat untuk Nabi ketika ia telah selesai talbiahnya dalam segala keadaan."(Hadis Riwayat Syafi'i dan Daraquthni) 
  12. Ketika setiap mengadakan majlis atau keramaian. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:"Tiadalah duduk suatu kaum di dalam sesuatu majlis sedang mereka telah menyebut (mengingati) Allah Ta'ala dan tiada berselawat ke atas Nabinya, melainkan menderita nescaya Allah akan menyiksa mereka dan jika Allah menghendaki nescaya akan mengampuni mereka."(Hadis Riwayat At-Tirmidzi dan Abu Daud)
  13. Ketika berjumpa sahabat handai atau saudara mara sesama Islam. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:"Tiadalah dua hamba yang saling cinta menyintai kerana Allah yang berjumpa salah seorang yang lain lalu berjabat tangan(bersalam) dan berselawat kepada Nabi s.a.w melainkan Allah mengampuni dosanya sebelum mereka berpisah, baik yang telah lalu ataupun yang akan datang."(Hadis Riwayat Ibnu Sunni)
  14. Ketika akan memulakan sesuatu pekerjaan yang baik atau penting. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:"Setiap pekerjaan yang baik yang tidak dimulai dengan hamdalah(memuji Allah) dan selawat, maka pekerjaan atau urusan itu terputus dan hilang berkahnya."(Hadis Riwayat Ar-Rahawi)
  15. Ketika mendengar orang menyebut nama Nabi Muhammad s.a.w Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:" Orang yang bakhil itu adalah orang yang tidak mahu berselawat ketika orang menyebut namaku di sisinya."(Hadis Riwayat At-Tirmidzi)
  16. Ketika telinga berdengung. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:"Jika telinga salah seorang dari kamu berdengung, maka hendaklah ia mengingati dan berselawat kepadaku."(Hadis Riwayat Ibnu Sunni)
  17. Ketika  mengalami kesusahan dan kebimbangan. Diberitakan oleh Ubay bin Kaab bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah, ujarnya:"Ya Rasulullah bagaimana pendapat engkau sekiranya aku jadikan selawt untuk engkau semua?" Jawab Rasulullah s.a.w:"Kalau demikian Allah akan memelihara engkau baik mengenai dunia mahu pun mengenai akhiratmu."(Hadis Riwayat Ahmad)
  18. Setiap waktu pagi dan petang. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:"Barangsiapa berselawat kepadaku waktu pagi sepuluh kali dan waktu petang sepuluh kali, maka ia akan mendapat syafaatku di hari kiamat."(Hadis Riwayat Thabarani)



Petikan dari Buku 99 Selawat Nabi
Hanafi Mohamed 
Darul Nu'man
http://www.darulnuman.com

3 comments:

Mengharap RedhaMu said...

Tidak mahukah kita ketemu dengan Rasulullah s.a.w?

Kasturi said...

hati mana yang tidak rindu untuk berjumpa Baginda...

Ayuh perbanyakkan selawat ke atas baginda...

Mengharap RedhaMu said...

Ayuh!!! mulakan dengan 10x setiap lepas solat 5 waktu.

Ada baik dibaca juga.....