03 August 2011

Doa Lailatul Qadr



Waktu atau bilakah berlakunya al-Qadar

Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan yang bermaksud: "Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh akhir Ramadan melebihi usahanya daripada malam-malam lain."

Lailatul Qadar berlaku pada 10 malam terakhir daripada malam ganjil di bulan Ramadan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:" Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh akhir bulan-bulan Ramadan dalam malam ganjil."

Pendapat yang terkuat mengikut para ulama bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam 27 Ramadan. Hujah mereka amat banyak antaranya:

  • Mengikut Abu Ka'ab katanya: " Demi Allah sesungguhnya Ibn Mas'ud telah menyakinkan bahawa malam Lailatul Qadar jatuh dalam bulan Ramadan, manakala Lailatul Qadar pula jatuh pada malam ke 27. Akan tetapi, dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbang kamu tidak lagi berusaha mencarinya.
  • Daripada riwayat Muawiyah yang bermaksud: " Bahawa Nabi SAW telah bersabda bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam ke-27."
  • Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah al-Qadar mempunyai 30 perkataan. Perkataan ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir (hia) yang kembalinya kepada Lailatul Qadar.
  • Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibn Umar r.a yang bermaksud: "Sesiapa yang mencari Lailatul Qadar, dia hendaklah mencarinya pada malam ke-27, carilah kamu Lailatul Qadar pada malam yang ke-27."
Pada malam ke-23 Ramadan. Inilah pendapat Imam Syafie. Inilah juga pendapat Malik, Ibn Khuzaimah, Abu Awanah dan al-Tahawi berdasarkan hadis riwayat Abdullah bin Unais bahawa Rasulullah SAW bersabda: " Carilah malam Qadar pada 23 Ramadan.

Pada malam 21 Ramadan. Inilah juga pendapat yang dipilih oleh Imam Syafie. Dia berdalilkan pada hadis riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi daripada Ibn Mas'ud bahawa Rasulullah SAW bersabda: " Tuntutlah  malam 17,21 dan 23 Ramadan."

Pada malam 24 Ramadan. Ini berdasarkan hadis Ibn Abbas bahawa Baginda SAW bersabda:" Carilah malam Lailatul Qadar pada malam 24 Ramadan."-(Riwayat Muhammad bin Nasr Ahmad daripada Bilal dan al-Tayalisi)

Pada malam akhir Ramadan. Hal ini berdasarkan hadis Muawiyah r.a bahawa Nabi SAW bersabda:" Carilah malam Qadar pada akhir malam Ramadan."-(Riwayat Ibn Nasr)

Petikan daripada:
Ramadan Pelbagai Hukum dan Fatwa Puasa
Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri


No comments:

Ada baik dibaca juga.....