Jasa bukan untuk dibalas
By Editor • May 15, 2009
Oleh IZHAR SYAFAWI
… Pada tahun 1905, masyarakat Melayu Kelantan menjadi gempar dengan sebab “telah jatuh di dalam negeri sahaya satu pekerjaan yang pelik, tiada pernah jatuh lagi dahulunya, iaitu datang seorang nama Haji Encik ´Id bin Haji Jamaluddin Linggi ke Kelantan mengajarkan ilmu tarekat Ahmadiyah.” …
Demikianlah antara salinan isi warkah daripada Raja / Sultan Kelantan, bertarikh 14 Ramadan 1323 (bersamaan 12 November 1905) yang diutus “kepada orang tua sahaya, Wan Ahmad bin Haji Wan Din al-Fatani”, seorang tokoh ulama besar Alam Melayu yang menetap di kota Mekah.
Haji Encik ‘Id yang dimaksudkan itu ialah Haji Muhammad Said bin Haji Jamaluddin bin Haji Idris. Dikenali juga dengan panggilan al-Syeikh Muhammad Said al-Linggi al-Jawi. Datuknya, Haji Idris, anak Hajah Rahimah binti Khatib Musa dikenali sebagai seorang yang alim. Hampir separuh daripada usianya dihabiskan di kota ilmu Mekah kerana menuntut ilmu. Haji Idris berketurunan campuran Minangkabau-Bugis Linggi. Ini kerana isteri Khatib Musa yang bernama Zalikha adalah anak seorang pembesar di Kampung Semabuk, Minangkabau.