15 June 2011

Gerhana

Hukum Solat Gerhana
Ulama telah bersepakat tentang hukum sunat muakkad bagi melaksanakan solat sunat gerhana.  Hukum sunatnya adalah sama dengan hukum solat dua hari raya.  Solat sunat gerhana pula hanya dilakukan di tempat berlakunya gerhana.  Jika saudara kita di satu tempat seperti Afrika Utara mengetahui ramalan akan berlakunya gerhana matahari separuh pada 29 Safar 1428, tetapi gerhana tersebut tidak berlaku d Malaysia, maka umat Islam di Malaysia tidak disunatkan untuk melakukan solat gerhana.

Dalil Pensyariatan
Hukum solat sunat gerhana adalah berdasarkan dalil dari
(1) Surah Fussilat, ayat 37,
لاَ تَسْجُدُواْ لِلشَّمْسِ وَلاَ لِلْقَمَرِ وَٱسْجُدُواْ لِلَّهِ ٱلَّذِي خَلَقَهُنَّ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ
Maksudnya “Janganlah kamu sujud kepada matahari dan jangan pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah”.
(2) Hadis riwayat Imam Muslim yang maksudnya;
Sesungguhnya kedua-dua matahari dan bulan adalah daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, tidak berlaku gerhana kerana kematian atau kerana hidupnya seseorang, apabila kalian menyaksikan fenomena gerhana tersebut maka solatlah dan berdoalah
Menurut Imam Ibrahim al-Baijuri, antara hikmah berlakunya fenomena gerhana ialah sebagai peringatan kepada golongan penyembah matahari dan bulan bahawa kedua-dua matahari dan bulan adalah makhluk yang tunduk dan patuh pada kekuasaan Allah.  Jika kedua-duanya adalah tuhan sebagaimana dakwaan mereka, nescaya akan menjaga dirinya daripada kekurangan, lalu mengapakah cahayanya boleh hilang seketika?

Perbezaan Antara Gerhana Bulan dan Gerhana Matahari
 
Gerhana Bulan
Gerhana Matahari
1
Biasanya berlaku pada pertengahan bulan hijri.
Biasanya berlaku pada akhir bulan hijri.
2
Berlaku pada waktu malam.
Berlaku pada waktu siang.
3
Disunatkan membaca al-Fatihah dan surah secara kuat (jahar).
Disunatkan membaca al-Fatihah dan surah secara perlahan (khafiyy).
 
Tatacara Sebelum Melaksanakan Solat Sunat Gerhana
1.       Sunat mandi terlebih dahulu.
2.   Tidak disunatkan memotong kuku atau bercukur kerana waktu yang sempit.
3.       Sunat juga memakai pakaian yang biasa (pakaian harian), bukan pakaian yang cantik-cantik seperti solat sunat istisqa’ (minta hujan).
Waktu Disunatkan Solat Sunat Gerhana
Waktunya bermula ketika berlakunya gerhana dan berakhir dengan hilangnya gerhana tersebut dan keadaan menjadi seperti sedia kala.  Begitu juga tidak diharuskan menambah ruku’ menjadi tiga bagi satu rakaat sekalipun gerhana berlaku panjang, atau memendekkan ruku’ menjadi satu bagi satu rakaat sekalipun gerhana sudah berlalu.  Jika gerhana berlalu dan hilang sedang kita masih dalam keadaan bersolat maka dikira sah.  Jika gerhana berlaku pada waktu yang ditegah padanya kita bersembahyang, maka dengan sebab gerhana kita disunatkan bersembahyang dan makruh pula meninggalkannya jika kita melihat fenomena gerhana.  Ini adalah pendapat di sisi mazhab kita.  
Beberapa Peringatan
i.               Tidak perlu azan dan iqamah untuk memanggil jemaah menunaikan solat gerhana tetapi cukup dengan sekadar ucapan : ( الصِّلاَةُ جَامِعَةً )
ii.             Sunat menyaringkan suara pada bacaan Fatihah dan surah ketika solat sunat gerhana bulan.  Bagi solat sunat gerhana matahari pula disunatkan memperlahankan suara pada bacaan Fatihah dan surah.
iii.            Disunatkan mandi untuk solat gerhana, seperti hendak solat Jumaat.
iv.            Sunat menyampaikan khutbah (dua khutbah seperti khutbah Jumaat) selepas solat sunat gerhana walaupun gerhana sudah hilang.
v.              Sunat menyampaikan khutbah (seperti khutbah hari raya tetapi tidak disunatkan bertakbir 9 atau 7 kali berturutan pada mukaddimah khutbah).
vi.            Isi khutbah hendaklah menyuruh para jemaah agar bertaubat daripada maksiat, bersedekah, berbuat kebajikan, banyak berdoa, beristighfar dan berzikir, memerdekakan hamba, berpuasa, mengingatkan manusia supaya tidak lalai, jangan leka dengan dunia dan sebagainya.
vii.           Jika dilakukan berseorangan atau jemaah hanya daripada kalangan wanita, maka tidak perlu khutbah (tetapi harus memberi tazkirah kepada jemaah wanita).
 
 
PANDUAN RINGKAS SOLAT GERHANA & KHUTBAHNYA
 
Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Bulan
أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى
Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Taala.”
 
Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Matahari
أُصَلِّى سُنَّةَ الْكُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى
Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Taala.”
 
Cara & Bilangan Rakaat
Terdapat 3 cara melaksanakan solat sunat gerhana iaitu;
i.               Yang terlebih sempurna ialah dilakukan 2 rakaat dengan setiap rakaat 2 ruku’ dan 2 qiyam yang dipanjangkan bacaan surah dan tasbihnya pada kedua-dua rakaat (Kesimpulannya: jumlah ruku’, qiyam dan sujud adalah sebanyak 4 kali dalam dua rakaat solat sunat gerhana).  Ini adalah cara yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. bersama para sahabatnya dan melibatkan masa yang amat panjang.  Kadar panjang bacaan surah ialah surah al-Baqarah (286 ayat) dalam qiyam pertama, sirah Aali Imran (200 ayat) dalam qiyam kedua, surah al-Nisa’ (176 ayat) dalam qiyam ketiga, dan surah al-Ma’idah (120 ayat) dalam qiyam keempat).  Kadar panjang tasbih ialah sekadar bacaan 100 ayat dalam ruku’ dan sujud pertama, sekadar bacaan 90 ayat dalam ruku’ dan sujud kedua, sekadar bacaan 70 ayat dalam ruku’ dan sujud ketiga, dan sekadar bacaan 50 ayat dalam ruku’ dan sujud keempat.
ii.             Yang lebih sempurna dilakukan 2 rakaat dengan 2 kali ruku’ dan 2 kali qiyam, dengan tidak dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat.  Ini adalah cara yang sederhana dan tidak memakan masa yang lama.
iii.            Sekurang-kurangnya 2 rakaat seperti solat sunat biasa.  Ini adalah cara dan bilangan rakaat yang paling minimum dan melibatkan tempoh yang singkat.
 
Huraian Cara Kedua (Sederhana Panjang)
Berikut adalah huraian cara solat gerhana dalam tempoh yang sederhana iaitu sekitar 30-40 minit berdasarkan pengalaman menunaikan solat gerhana bulan pada hari Selasa 15 Syaaban 1428 bersamaan 28 Ogos 2007 lalu.  Turut dicadangkan bacaan surah-surah pilihan daripada juzuk ke-30 yang lebih dikenali di kalangan masyarakat kita dengan ’ayat-ayat lazim’.
 
(Rakaat Pertama)
1.         Takbiratul Ihram.
2.         Membaca doa iftitah.
3.         Membaca Isti’azah. (أَعُوْذُ بِالله مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ)
4.         Membaca surah al-Fatihah.
5.         Membaca surah dalam qiyam pertama.  Dicadangkan membaca surah surah al-Baqarah (ayat 1-25) atau surah al-A’laa (19 ayat).
6.         Ruku’ (pertama) dan membaca tasbih (100 kali tasbih).
7.         Iktidal dan qiyam kedua, membaca surah al-Fatihah dan surah.  Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat 26-48) atau surah al-Ghaasyiyah (26 ayat).
8.         Ruku’ (kedua) dengan membaca tasbih (90 kali tasbih).
9.         Iktidal.
10.        Sujud (pertama) dan membaca tasbih (100 kali tasbih).
11.        Duduk antara 2 sujud (sunat dipanjangkan tempohnya).
12.        Sujud (kedua) dan membaca tasbih (90 kali tasbih).
13.        Berdiri ke rakaat kedua.
 
(Rakaat Kedua)
1.         Qiyam ketiga dan membaca surah al-Fatihah.
2.         Membaca surah.  Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat 49-61) atau surah al-Syams (15 ayat).
3.         Ruku’ (ketiga) dan membaca tasbih (70 kali tasbih).
4.         Iktidal dan qiyam keempat, membaca surah al-Fatihah dan membaca surah.  Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat 62-74) atau surah al-Zalzalah (8 ayat).
5.         Ruku’ (keempat) dengan membaca tasbih (50 kali tasbih).
6.         Iktidal.
7.         Sujud (ketiga) dan membaca tasbih (70 kali tasbih).
8.         Duduk antara 2 sujud (sunat dipanjangkan tempohnya).
9.         Sujud (keempat) dan membaca tasbih (50 kali tasbih).
10.        Membaca tasyahhud akhir.
11.        Memberi salam & imam bangun menyampaikan dua khutbah.
 
RUJUKAN
 
Abdul Karim Zaidan, Ensiklopedia hukum wanita dan keluarga, Kajian mendalam masalah wanita & keluarga dalam perspektif syariat Islam. Pustaka Dini.
al-Dimyāti al-Bakri, Abū Bakr bin ‘Uthmān bin Muhammad Shattā, Hāshiyat i‘ānat al-tālibin, 1995, Beirut: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, jil. 1, hlm. 448.
Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Zād al-ma‘ād fi hady Khayr al-‘ibād, 1994, Cet. ke-27, Beirut: Mu’assasat al-Risālah, jil. 1, hlm. 450-456.
Ibn Qudāmah, Muwaffaq al-Din Abū Muhammad ‘Abd Allah bin Ahmad bin Muhammad bin Muhammad bin Qudāmah, al-Mughni, 1992, Cet. ke-2, Kaherah: Hajar li al-Tibā‘ah wa al-Nashr wa al-Tawzi‘ wa al-I‘lān, jil. 3, hlm. 321-333.
al-Nawawi, Yahyā bin Sharaf, al-Azkār, 1991, cet. ke-3, Madinah: Maktabat Dār al-Turāth & Damsyik: Dār Ibn Kathir, hlm. 291-293.
al-Nawawi, Yahyā bin Sharaf, al-Majmū‘, t.th, Jeddah: Maktabat al-Irshād, jil. 5, hlm. 50-68.
al-Shāfi’i, Taqiy al-Din Abū Bakr bin Muhammad al-Husayni al-Husni al-Dimashqi, Kifāyat al-akhyār fi hall qhāyat al-ikhtisār, 1991, Beirut: Dār al-Khayr, hlm. 151-152.
 
Hasil nukilan;
Ustaz Hj. Nurazmallail bin Hj. Marni,
Pusat Pengajian Islam & Pembangunan Sosial,
Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor.


Hadis Asma' r.a:
Diriwayatkan daripada Fatimah sesungguhnya Asma' telah berkata:
Matahari gerhana pada masa Rasulullah s.a.w. Aku datang menemui Aisyah yang ketika itu sedang bersembahyang. Aku bertanya: "Kenapa orang ramai mendirikan sembahyang? 
Aisyah memberi isyarat dengan kepalanya ke arah langit. 
Aku bertanya lagi: Tanda kebesaran Allah? 
Dia menjawab: Benar! Rasulullah s.a.w berdiri cukup lama sekali, hingga aku terasa hampir pengsan. Lalu aku mencapai qirbah (satu bekas air) yang ada di sampingku dan aku menuangnya ke kepalaku atau ke wajahku. Apabila Rasulullah s.a.w selesai, matahari telahpun muncul kembali. Kemudian Rasulullah s.a.w berkhutbah kepada kaum Muslimin.Baginda memuji Allah dan menyanjungi-Nya.
Lalu bersabda: 
"Apa sahaja yang belum pernah aku lihat, pasti benar-benar aku dapat melihatnya di maqamku ini, biarpun ke Syurga dan Neraka. Sesungguhnya telah diwahyukan kepadaku, bahawa kamu akan menerima cubaan di dalam kubur yang hampir-hampir menyerupai fitnah Al-Masih Ad-Dajal. Aku tidak tahu apakah ia sebenarnya". 
Asma' lalu berkata: Kamu akan didatangi seseorang dan ditanyakan apakah yang kamu tahu mengenai lelaki ini? 
Adapun orang yang beriman atau orang yang yakin akan menjawab: "Aku tidak tahu siapakah dia. Asma' berkata: Katakanlah dia itu Muhammad. Dialah utusan Allah yang membawa bukti-bukti dan petunjuk kepada kami. Lalu kami penuhi dan taati (sebanyak tiga kali).
Kemudian dikatakan kepadanya: Benar! Kami memang tahu bahawa engkau beriman kepadanya. Tidurlah baik-baik! 
Sedangkan orang yang munafik atau ragu-ragu akan menjawab: Aku tidak tahu. 
Asma' berkata:  "Aku tidak tahu, cuma aku mendengar orang ramai berkata sesuatu, maka aku turut mengatakannya".  

Hadis Abu Mas'ud Al-Ansariy r.a katanya:
Rasulullah s.a.w telah bersabda:
"Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah. Kedua-duanya (ketika berlaku gerhana) digunakan oleh Allah untuk menakutkan (memberi amaran) kepada para hambaNya dan keduanya tidaklah menjadi gerhana disebabkan kematian seseorang di antara manusia. Oleh itu apabila kamu melihatnya maka dirikanlah sembahyang dan berdoalah kepada Allah sehinggalah Allah meneranginya semula kepada kamu".  

Hadis Abu Musa r.a katanya:
Telah berlaku gerhana matahari pada zaman Rasulullah s.a.w. Baginda bangkit dengan terkejut, bimbang kalau-kalau hari itu adalah Hari Kiamat. Kemudian beliau datang ke masjid lalu mendirikan sembahyang. Baginda berdiri, rukuk dan sujud dalam tempoh yang lama. Aku tidak pernah melihat sama sekali baginda bersembahyang begitu. 
Kemudian baginda bersabda:
"Sesungguhnya inilah ayat-ayat (tanda-tanda) yang diutuskan oleh Allah dan berlakunya bukanlah kerana kematian seseorang atau juga dihidupkan seseorang tetapi Allah mengutusnya untuk menakutkan (memberi amaran) kepada hamba-hambaNya. Oleh itu apabila kamu melihatnya maka bersegeralah mengingati-Nya, berdoa kepadaNya dan memohon keampunan dariNya".  

Hadis Abdullah bin Umar r.a:  
Rasulullah s.a.w telah bersabda: 
"Sesungguhnya matahari dan bulan tidaklah menjadi gerhana disebabkan kematian seseorang atau kerana dihidupkan seseorang tetapi kedua-duanya adalah termasuk ayat-ayat (tanda-tanda) dari Allah. Oleh itu apabila kamu semua melihatnya maka dirikanlah sembahyang". 

Hadis Al-Mughirah bin Syu'bah r.a katanya:  
Matahari telah gerhana pada masa Rasulullah s.a.w di hari kematian Ibrahim iaitu anak lelaki baginda. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: " Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Kedua-duanya tidak gerhana disebabkan kematian seseorang atau kerana dihidupkannya. Oleh itu apabila kamu melihatnya berdoalah kepada Allah dan dirikanlah sembahyang sehinggalah gerhana itu hilang".

Hadis Ibnu Abbas r.a:
Bahawa Nabi s.a.w telah mendirikan sembahyang sebanyak empat rakaat, dalam dua rakaat dan empat sujud.

Hadis Aisyah r.a katanya:
Matahari telah gerhana pada masa Rasulullah s.a.w lalu baginda berdiri melakukan sembahyang dan berdiri dalam waktu yang panjang. Kemudian baginda rukuk dan memanjangkan rukuk itu. Selepas itu baginda mengangkat kepala lalu berdiri pula dalam waktu yang lama tetapi tidaklah lama sebagaimana berdiri yang pertama tadi. Kemudian baginda rukuk pula sekali lagi dalam masa yang panjang, tetapi tidaklah sepanjang rukuk yang pertama. Setelah itu baginda sujud. Kemudian baginda bangkit dan berdiri pula dalam waktu yang lama tetapi tidaklah selama yang pertama tadi. Kemudian baginda rukuk cukup lama tetapi kurang dari yang pertama tadi. Seterusnya baginda mengangkat kepala lalu berdiri lama tetapi kurang tempohnya dari berdiri yang pertama. Kemudian rukuk pula cukup lama tetapi tidaklah selama yang pertama tadi. Setelah itu baginda sujud dan selepas selesai sembahyang baginda pun beredar dan matahari mulai kelihatan. Baginda mula berkhutbah di hadapan kaum Muslimin. Baginda memuji-muji Allah dan menyanjungNya. Kemudiannya baginda bersabda: Sesungguhnya matahari dan bulan itu termasuk tanda-tanda kebesaran Allah. Kedua-duanya tidak menjadi gerhana disebabkan hidup atau matinya seseorang. Oleh itu seandainya kamu melihat kedua-duanya gerhana, maka bertakbir dan berdoalah kepada Allah, dirikanlah sembahyang dan bersedekahlah wahai umat Muhammad! Tidak seorang pun yang paling prihatin selain daripada Allah apabila hambanya samada lelaki ataupun perempuan melakukan zina. Wahai umat Muhammad! Demi Allah seandainya kamu tahu apa yang telah aku ketahui, tentu kamu lebih banyak menangis dan kurang ketawa. lngatlah, bukankah aku telah menyampaikan?.

No comments:

Ada baik dibaca juga.....