21 June 2011

10-Kunci Rezqi

1.Beristifar dan bertaubat
Berkata Imam Nawawi  jika taubat seseorang dari dosa yang ia lakukan terhadap Allah S.W.T maka syaratnya ada tiga:
  1. Meninggalkan maksiat tersebut serta-merta
  2. Menyesali terhadap maksiat yang telah berlalu
  3. Berjanji (azam) tidak akan mengulanginya lagi
Jika salah satu dari 3 syarat diatas tidak dipenuhi maka taubatnya batal atau tidak sah.
Jika dosa yang dilakukannya itu berkaitan dengan manusia lain maka syaratnya ada 4, selain dari 3 diatas dan yang ke-4 dia mestilah membebaskan dirinya dari orang berkenaan.
Jika dalam bentuk harta hendaklah dikembalikan kepada yang empunya, jika fitnah atau tuduhan atau mengumpat hendaklah ia memohon kemaafan daripadanya.
Adapun istighfar menurut Imam Al Raghib Al Asfahany : memohon ampunan dengan ucapan dan perbuatan. Istighfar belum mencukupi hanya dengan lisan, tetapi mestilah dengan lisan dan perbuatan.
Firman Allah di dalam surah Nuh :10-12


2.Taqwa
Perkataan Taqwa asalnya wiqayah yang mengandungi makna memelihara diri. Ini sebagaimana ungkapan bahasa Arab;"Al wi qa ya tu khairun minal ilaa ji" yang bermaksud memelihara diri adalah lebih baik daripada mengubati.
Sedang Taqwa menurut Saidina Ali k.w :  
"Taqwa ialah melaksanakan apa yang disuru oleh Allah dan menjauhi apa yang dilarangNya".
Manakala menurut Abdullah Bin Abbas r.a : 
" Allah hendaklah ditaati dan jangan Dia dimaksiati, Allah hendaklah diingati dan jangan Dia dilupakan, Allah hendaklah disyukuri dan Dia jangan dikufuri".
Menurut Imam Al Nawawy : 
"Melaksanakan suruhan Allah dan menjauhi laranganNya iaitu dengan makna: Memelihara diri dari kemurkaan Allah S.W.T dan siksaanNya".

Berdsarkan takrif-takrif taqwa di atas nyatalah bahawa sesiapa yang tidak memelihara dirinya daripada perbuatan dosa, apakah dengan melanggar larangan Allah ataupun dengan mengabaikan suruhanNya lalu ia tidak segera bertaubat kepada Allah maka dia bukanlah orang yang bertaqwa.
Firman Allah Surah Al-Talaq : 2-3
Firman Allah Surah Al-A'raf : 96


3.Tawakkal
Tawakal adalah menyandarkan hati hanya kepada Allah Yang Maha Esa atau keyakinan bahawa tidak ada yang dapat melakukan segala yang wujud melainkan hanya Allah Yang Maha Esa, sedangkan segala yang wujud seperti ciptaan dan rezki, memberi dan menghalang, mudharat dan manfaat, kefakiran dan kekayaan, sakit dan sihat, hidup dan mati, dan lain-lain yang wujud semuanya adalah dari Allah S.W.T

Rasulullah bersabda yang bermaksud ; "Sekiranya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu dilimpahkan rezki sebagaimana burung diberi rezki, dia meniggalkan sarangnya pada waktu pagi dalam keadaan perutnya kosong dan kembali pada petangnya dalam keadaan perutnya kenyang  ".

Tawakal dan Usaha
Sebahagian manusia beraggapan bahawa orang yang bertawakal kepada Allah pasti akan diberi rezki olehNya tanpa perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari kehidupan. Kononnya kalau sudah bertawakal walaupun malas berusaha dan berpangku tangan sahaja, namun rezki tetap akan turun dari langit.Dakwaan ini menunjukkan betapa jahil golongan tersebut terhadap dengan makna tawakal yang sebenar. Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan Al Hakim daripada Ja'afar Bin Amru Bin Umayyah dari bapanya katanya: Telah berkata seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w " Ur si lu naa qati wa a tawakalu  "Adakah saya lepaskan sahaja untaku lalu kemudian aku bertawakal? "
Rasulullah s.a.w bersabda " Akqilha wa tawakal""  "
Yang bermaksud " Ikatkan untamu (terlebih dahulu) dan kemudian barulah kamu bertawakal ".

4.Tekun beribadat
Maksud tekun beribadat bukanlah dengan meninggalkan usaha mencari rezeki dan hanya duduk sahaja didalam masjid siang dan malam sebagaimana anggapan sesetengah manusia yang jahil. Tetapi maksudnya ialah seseorang yang hatinya dan jasadnya ketika beribadat tidak berbelah bagi, khusuk dan hadir hatinya sambil menghayati akan kebesaran Allah Azza Wa Jalla dan penuh yakin bahawa ia sedang bermunajat di hadapan Yang Maha Berkuasa lagi Maha Menentukan segala-galanya. Dia ketika itu dalam keadaan sebagaimana yang pernah digambarkan oleh baginda Rasul s.a.w ketika menjelaskan makna "Ihsan" didalam beribadat. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
" Engkau beribadat kepada Allah seakan-akan engkau melihatNya, tetapi sekiranya engkau tidak dapat melihatNya maka (engkau sungguh yakin) bahawa Dia tetap melihat engkau".
(Hadis Riwayat Muslim)

Dalil syara bahawa tekun beribadat punca murah rezki:
1. Rasulullah s.a.w bersabda didalam hadis.
Daripada Abu Hurairah r.a daripada Nabi Muhammad s.a.w katanya:  
"Sesungguhnya Allah S.W.T berfirman : Hai anak Adam! Tekunlah kamu beribadat kepadaKu, nescaya akan Aku penuhkan hatimu dengan kekayaan dan akan Aku hilangkan kefakiranmu. Tetapi jika kamu tidak melakukannya, niscaya akan Aku penuhkan tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak akan hilangkan kefakiranmu".
(Hadis Riwayat Tarmidzi dan Ibnu Majah)

Didalam hadis di atas Nabi Muhammad s.a.w menyampaikan bahawa Allah S.W.T berjanji akan memberikan dua ganjaran kepada orang yang tekun beribadat kepadaNya dan dua hukuman kepada orang yang tidak berbuat demikian.
Adapun ganjaran bagi orang yang tekun beribadat ialah:
1. Allah akan memberikan kekayaan.
2.Allah akan menghilangkan kefakirannya

Sedang hukuman atau deraan ke atas orang yang tidakk tekun beribadat kepadaNya pula ialah:
1. Allah akan sibukkan dia dalam hal-hal yang tidak berguna
2. Allah tidak akan menghilangkan kefakirannya

5.Haji dan umrah
Daripada Abdullah Bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: "Ikutilah di antara haji dengan umrah, kerana kedua-dua ibadat itu dapat menghapuskan kefakiran dan dosa, sebagaimana api dapat menghancurkan karatan besi,emas dan perak, dan tiadalah ganjaran haji yang mabrur melainkan syurga".
(Hadis Tarmidzi dan Al Nasai)

Dari Ibnu Abbas r.a katanya : "Rasulullah s.a.w bersabda: Ikutilah ibadat haji dengan Umrah kerana kedua-duanya dapat menghapuskan kefakiran dan dosa sebagaimana api menghilangkan karat besi".
(Hadis riwayat Al Nasai)

6.Silaturrahim
Menurut Al-Hafiz Ibnu Hajar: Makna "Rahim"mencakupi kaum kerabat. Mereka ialah orang-orang yang mempunyai hubungan"nasab" atau keturunan denganmu, apakah mereka itu orang yang menjadi waris bagi kamu ataupun tidak, apakah mereka termasuk mahram kamu ataupun bukan mahram.
Menurut Al Mullah Ali Al Qari : maksud "Silaturrahim" adalah kinayah atau kiasan dari makna berbuat baik(ihsan) kepada kaum kerabat, apakah kerabat melalui keturunan (nasab) ataupun melalui perkahwinan (mushaharah). Bersikap lemah-lembut kepada mereka dan mengambil berat dengan keadaan mereka.
Dari Abu Hurairah r.a katanya:
" Aku mendengar Rasulullah s.a.w besabda: Siapa yang ingin agar rezkinya dimurahkan dan umurnya dipanjangkan, maka hendaklah ia menghubungkan silaturrahim". 
(Hadis Riwayat Bukhari)

Dari Ali Bin Abi Talib r.a daripada Nabi Muhammad s.a.w katanya: "Siapa yang suka agar umurnya dipanjangkan, dan rezkinya diluaskan dan dihindarkan daripadanya mati mengejut, maka hendaklah ia bertaqwa kepada Allah dan menghubungkan silaturrahim".
(Hadis Riwayat Abdullah Bin Ahmad, Al Bazzar, At Tabarany)

7.Infaq 
Infaq dalam Jalan Allah
Makna Infaq dalam jalan Allah atau "Infaq Fii Sabilillah" ialah membelanjakan sesuatu yang disayangi untuk agama Allah seperti membelanjakan sesuatu kepada fakir miskin dan membelanjakan sesuatu untuk membantu agama Allah.
Allah Berfirman yang bermaksud : " Dan barang apa sahaja yang kamu nafkahkan ( infaqkan ), maka Allah akan menggantikan dan Dia-lah Pemberi rezki yang sebaik-baiknya". 
(Saba- 39)
Rasulullah s.a.w bersabda:
" Tidakkah hamba-hamba (manusia) memasuki suatu hari melainkan turunlah dua malaikat (dari langit), lalu berkatalah salah seorang daripadanya : Ya Allah, berilah gantian kepada orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah); dan berkata pula yang seorang lagi : Ya Allah, binasakanlah harta orang yang menahan (tidak menafkahkan hartanya di dalam jalan Allah)".
(Hadia Riwayat Bukhari)

8.Infaq kepada penuntut Ilmu Syara'
Di antara punca murah rezki ialah jika seseorang dengan redha menyara orang lain yang menuntut ilmu agama(syara') sepenuh masa.
Daripada Malik Bin Anas r.a katanya : " Ada dua orang yang bersaudara di zaman Rasulullah s.a.w. Salah seorang daripadanya selalu mendatangi Rasul s.a.w untuk menuntut dan mendalami ilmu agama daripadanya, sedangkan yang seorang lagi bekerja keras mencari rezki. Lalu saudaranya yang bekerja keras mencari rezki ini mengadu kepada Rasulullah s.a.w tentang saudaranya yang hanya menuntut ilmu. Maka bagindapun bersabda: 
"Laal laka Turdzaqu bihi" yang bermaksud "Mudah-mudahan kamu diberi rezki dengan sebab dia". 
(Hadis Tarmidzi dan Al- Hakim)

9.Ihsan kepada Dhu'afaa' 

Di antara penyebab murah rezki ialah berbuat baik (ihsan) kepada dhu'afaa' yakni orang-orang yang lemah atau fakir miskin. Rasulullah s.a.w telah menjelaskan bahawa seseorang akan ditolong oleh Allah dan akan dianugerahkan rezki disebabkan oleh kerana ia memuliakan orang-orang yang lemah dan berbuat ihsan kepada mereka.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Tidaklah kamu ditolong dan diberi rezki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu".
(Hadia Riwayat Imam Bukhari)

Dalam hadis yang lain pula Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Mintalah kepadaku pada orang-orang lemah di kalangan kamu, kerana sesungguhnya kamu diberi rezki dan ditolong kerana orang-orang lemah di antara kamu".
(Hadis Riwayat Tarmidzi dan Al-Hakim)  

Al-Mulla 'Ali Al-Qari berkata ketika menguraikan ungkapan "Mintalah kepadaku pada orang-orang lemah di kalangan kamu" maksudnya: Mohonlah keredhaanku dengan cara berbuat ihsan kepada orang-orang fakir dikalangan kamu. Oleh sebab itu sesiapa yang berusaha untuk mendapatkan keredhaan kekasih daripada Allah Yang Maha Pemberi Rezeki, iaitu dengan berbuat ihsan kepada fakir miskin, maka Allah 'Azza Wa Jalla akan menolongnya dan menganugerahkan rezki yang banyak kepadanya.

10.Hijrah
 Makna Berhijrah: 
Imam Al-Raghib Al-Ashfahaany berkata: maksud berhijrah disini ialah keluar dari negeri kafir ke negeri iman sebagaimana berhijrah dari Mekah ke Madinah. Tetapi Al- Sayyid Rashid Redha menambah: Wajiblah hijrah tersebut dengan niat mengharap keredhaan Allah untuk menegakkan agamaNya sebagaimana yang diwajibkan dan disukai oleh Allah ataupun dengan niat untuk membela saudaranya seagama yang ditindas oleh orang-orang kafir.
Allah berfirman yang bermaksud:
"Barang siapa berhijrah di jalan Allah, niscaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezki yang banyak".(Al-Nisa 100)
Imam Al-Razi menyimpulkan tafsiran ayat di atas seolah-olah Allah ingin menyatakan:
"Hai sekelian manusia, jika kamu benci untuk berhijrah meniggalkan negerimu untuk pergi ke negeri lain kerana mengenang bertapa susahnya dan banyaknya rintangan di dalam perjalanan, maka janganlah kamu takut! kerana Allah telah berjanji akan memberi kamu kebaikan dan nikmat yang banyak disebabkan oleh hijrahmu itu.Dan keadaan ini bukan sahaja akan meluaskan rezkimu tetapi pada masa yang sama akan mengecewakan musuh-musuhmu".

Petikkan dari buku Kunci Rezki

    No comments:

    Ada baik dibaca juga.....