10 April 2012

“TUHAN TUAN-TUAN SEMUA BERADA DI BAWAH TAPAK KAKI SAYA”


Ada sebuah kisah yang berlaku kepada Syeikh Abdul Qadir al-Jailani. Dia didatangi oleh pemuka-pemuka kota Baghdad untuk diajak bersama dalam satu majlis ibadah malam secaraberamai-ramai. Dia menolak tetapi pemuka-pemuka tersebut berkeras juga mengajak beliau hadir. Untuk dapat berkat, kata mereka. Akhirnya, dengan hati yang berat, Syeikh Abdul Qadir bersetuju untuk hadir.

Pada malam berkenaan, di satu tempat yang terbuka,beratus-ratus orang hadir dengan melakukan ibadah masing-masing.Ada yang bersolat. Ada yang berwirid. Ada yang membaca Quran. Ada yang bermuzakarah. Ada yang bertafakur dan sebagainya. Syeikh Abdul Qadir duduk di satu sudut dan hanya memerhatikan gelagat orang-orang yang beribadah itu.

Di pertengahan malam, pihak penganjur menjemput Syeikh Abdul Qadir untuk memberi tazkirah. Dia cuba mengelak tetapi didesak berkali-kali oleh pihak penganjur. Untuk dapat berkat, kata mereka lagi. Akhirnya dengan hati yang sungguh berat, Syeikh Abdul Qadir bersetuju.

Tazkirah Syeikh Abdul Qadir ringkas dan pendek sahaja.Dia berkata:

“Tuan-tuan dan para hadirin sekelian. Tuhan tuan-tuan semua berada di bawah tapak kaki saya.”

Dengan itu, majlis terkejut dan menjadi gempar dan riuh rendah.Para hadirin terasa terhina dan tidak puas hati.Bagaimanakah seorang Syeikh yang dihormati ramai dan terkenal dengan ilmu dan kewarakannya boleh berkata begitu terhadap Tuhan mereka. Ini sudah menghina Tuhan. Mereka tidak sanggup Tuhan mereka dihina sampai begitu rupa.

Mereka sepakat hendak melaporkan perkara itu kepada pemerintah. Apabila pemerintah dapat tahu, diarahnya kadhi untuk menyiasat dan mengadili Syeikh Abdul Qadir dan jika diadapati bersalah, hendaklah dihukum pancung.

Pada hari pengadilan yang dibuat di khalayak ramai,Syeikh Abdul Qadir dibawa untuk menjawab tuduhan.

Kadhi bertanya, “Benarkah pada sekian tempat, tarikh dan masa sekian, Tuan Syeikh ada berkata di khalayak ramai bahawa tuhan mereka ada di bawah tapak kaki Tuan Syeikh?”

Dengan tenang Syeikh Abdul Qadir menjawab, “Benar, saya ada kata begitu.”

Kadhi bertanya lagi, “Apakah sebab Tuan Syeikh berkata begitu?”

Jawab Syeikh Abdul Qadir , “Kalau tuan kadhi mahu tahu, silalah lihat tapak kaki saya.”

Maka kadhi pun mengarahkan pegawainya mengangkat kaki Syeikh Abdul Qadir untuk dilihat tapak kakinya. Ternyata ada duit satu dinar yang melekat di tapak kakinya. Kadhi tahu Syeikh Abdul Qadir seorang yang kasyaf.

Fahamlah kadhi bahawa Syeikh Abdul Qadir mahu mengajar bahawa semua orang yang beribadah pada malam yang berkenaan itu sebenarnya tidak beribadah kerana Tuhan. Tuhan tidak ada dalam ibadah mereka. Hakikatnya, mereka tetap bertuhankan dunia yang duit satu dinar itu menjadi lambang dan simbolnya.

01 April 2012

Hadis Kesempurnaan Islam


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Daripada Sayyidina Khalid bin Al-Walid r.a telah berkata : Telah datang seorang arab desa kepada Rasulullah SAW  yang mana dia telah menyatakan tujuannya : "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kedatangan aku ini adalah untuk bertanya engkau mengenai apa yang akan menyempurnakan diriku didunia dan akhirat.

Maka baginda SAW  telah berkata kepadanya : "Tanyalah apa yang engkau kehendaki."

Dia berkata : "AKU MAHU MENJADI ORANG ALIM"

Baginda SAW  menjawab : "TAKUTLAH KEPADA ALLAH MAKA ENGKAU AKAN MENJADI ORANG YANG ALIM"

Dia berkata : "AKU MAHU MENJADI ORANG PALING KAYA"

Baginda SAW  menjawab : "JADILAH ORANG YANG YAKIN PADA DIRI MAKA ENGKAU AKAN JADI ORANG PALING KAYA"

31 March 2012

Membantah kerana nafsu-Syeikh Abdul Qadir al-Jailani

Berkata Syeikh Abdul Qadir al-Jailani :
"Janganlah kamu semua membantah orang lain kerana hawa nafsu, tetapi bantahlah kerana iman. Jadikanlah iman sebagai bantahan. Jika kamu semua membantah orang ingkar kerana Allah, Dia akan melindungi kamu semua dalam menyelamatkannya. Tetapi, jika kamu semua membantahnya kerana hawa nafsu, hasutan syaitan dan hasrat kamu, Allah akan membiarkan kamu semua. Kamu semua tidak akan mampu menyelamatkan orang ingkar itu dan tidak akan mampu memusnahkan kemungkarannya. Imanlah yang sepatutnya menjadi bantahannya. Sesiapa membantah orang yang ingkar bukan kerana iman, dia sebenarnya bukanlah membantah kemungkaran orang itu. Bantahan itu perlulah kamu lakukan tanpa "dirimu", kerana Allah semata-mata, bukan kerana makhluk, demi membela agama Allah, bukan demi membela nafsumu, untukNya bukan untukmu."




Petikkan dari buku 
Kisah Kehidupan Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani 
Terbitan Al-Hidayah (2011)
http://www.hidayah.com.my/site/

28 March 2012

Pergi dan cucilah tanganmu-Syeikh Abdul Qadir al-Jailani

Salah seorang Syeikh yang sezaman dengannya, iaitu Syeikh Muzaffar Mansur ibn al-Mubarak al-Wasiti meriwayatkan: 
"Aku mengunjungi Syeikh Abdul Qadir bersama beberapa orang muridku. Aku membawa sebuah buku falsafah. Dia menyelami dan memandang kami lalu berkata kepadaku, "Bertapa kotor dan buruknya sahabat yang kamu genggam itu! Pergi dan cucilah tanganmu!" Aku terkejut mendengar ucapan marah Syeikh. Tidak mungkin dia mengetahui isi buku yang memang ku sukai dan hampir ku hafal itu.
Terlintas dalam fikiran untuk bediri dan menyembunyikan buku itu di suatu tempat untuk diambil kembali semasa pulang. Baru sahaja aku hendak bangkit, Syeikh menatapku tajam dan aku tidak dapat berdiri. Dia memintaku agar menyerahkan buku itu. Sebelum ku berikan, aku membukanya buat terakhir kali. Namun, tidak ada satu pun huruf yang kulihat. Semuanya kosong. Putih. Semua yang ku tulis di sana telah hilang.
Setelah menerima buku itu, dia amati apa yang ada didalamnya lalu menyerahkannya kembali kepadaku sambil berkata, "Inilah 'Keutamaan Al-Quran' yang ditulis oleh Daris". Ku terima dan ku buka buku itu. Ternyata buku falsafah itu telah diubah menjadi Fadhd'il al-Quran karya Ibn Daris, dengan tulisan yang amat indah. Kemudia dia berkata, "Mahukah kamu bertaubat dengan lisan dan hatimu?"
"Ya,"jawabku
"Berdirilah." Ketika aku bangkit, ku rasakan semua ilmu falsafahku luruh dari fikiranku dan jatuh ke tanah. Tidak ada satu pun perkataan mengenainya yang tinggal dalam fikiranku." 



Petikkan dari buku 
Kisah Kehidupan Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani 
Terbitan Al-Hidayah (2011)
http://www.hidayah.com.my/site/

Ada baik dibaca juga.....