Ma makna Taqarrub ?
(Taqarrub) bererti menghampirkan diri kepada Allah
S.W.T. Satu usaha yang dilakukan oleh seorang hamba untuk mendapatkan
kasih (hubb) illahi. Taqarrub merupakan satu martabat pengabdian yang
tinggi, melebihi amalan-amalan biasa yang sewajarnya dilaksanakan.
"Bertaqarrub" bererti melakukan
amalan-amalan sunat (nawafil) secara terus-menerus. Allah S.W.T
berjanji bahawa Ia akan mengasihi orang yang berkenaan. Apabila Allah S.W.T
mengasihi seseorang, Allah S.W.T akan memberi kekuatan fizikal, iaitu
telinga,mata, tangan dan kaki, juga kekuatan mental. Apabila orang yang
berkenaan memohon, Allah S.W.T akan memperkenankan dan akan melindunginya andai
ia memohon perlindungan.
Martabat taqarrub tidak akan diperolehi oleh seseorang
sehingga Allah S.W.T mengasihi orang yang berkenaan. Ini bermaksud bahawa
pembentukkan sifat taqarrub itu adalah semata-mata kerana belas ehsan
serta kemurahan Allah S.W.T jua.
Diantara kaedah atau cara untuk
bertaqarrub kepada Allah S.W.T ialah dengan melakukan amal ibadat pada
hari-hari Jumaat, berpuasa sunat pada masa-masa tertentu,beribadah pada
malam hari dengan melakukan Sembahyang Tahajud, Tasbih, Wirid dan
lain-lain termasuk membaca Al-Quran.
Bertaqarrub bererti berilmu. Hamba yang kuat beribadah (abid)
tetapi tidak berilmu itu sebenarnya tidak ubahnya seperti orang
yang berjaya melakukan sesuatu tetapi hanya berupaya melepaskan tanggungjawab
diri yang perlu dipikul. Untuk mempertahankan keyakinan yang dimiliki itu
seseorang itu kadang-kadang menemui kegagalan. Seumpama orang yang bertaklid
yang melakukan sesuatu secara ikut-ikutan, bukan daripada keyakinan diri.
Bertaqarrub juga bererti berusaha dengan akal dan kekuatan yang
dikurniakan kemudian bertawakal, menyerah diri kepada Allah S.W.T. Ini bererti
Allah S.W.T itu merupakan tempat berlindung yang sebenar. Orang yang
bersandarkan atau hidup mengharapkan kepada orang lain akhirnya akan kecewa
kerana manusia itu akan pupus.
Begitulah halnya dengan orang yang bersandarkan kepada
kekuatan meterial dan sebagainya. Hal yang demikian tidak berlaku padaNya.
Allah S.W.T itu tetap kekal (Qadim). Berdasarkan keterangan tersebut tidak
peliklah kalau jiwa orang yang bertaqarrub kepada Allah S.W.T itu sentiasa
tenang dan damai kerana tempat ia besandar dan berlindung itu tetap kekal (Qadim),
Maha Agung lagi Perkasa.
Taqarrub dapat juga bererti ikhlas iaitu melakukan sesuatu
kerana Alllah S.W.T. Oleh sebab orang yang bertaqarrub itu menyandarkan
diri kepada Allah S.W.T, maka segala tindak tanduknya adalah kerana Allah
S.W.T. Dengan menggunakan akal untuk memilih, orang yang bertaqarrub tidak akan
menyeleweng, juga tidak takut melaksanakan sesuatu yang hak. Itulah sebabnya orang
yang bertaqarrub itu orang yang berjaya hidupnya di dunia dan di akhirat.
Sesungguhnya bertaqarrub adalah jalan yang perlu dilalui
oleh setiap orang yang inginkan kejayaan, ketenangan jiwa dan keamanan di dunia
dan di akhirat.
Diambil dari petikan :
"TAQARRUB AMALAN MENGHAMPIRKAN DIRI PADA ILLAHI"
oleh Dr.Amran Kasimin (1991)
No comments:
Post a Comment