22 August 2011

Kekuatan Akidah (untuk da'i 2)

Persoalan Agama: Iman suntik kekuatan akidah ummah
Bersama Ustaz Zahazan

2011/08/21

ADA orang mendakwa bahawa dia mempunyai akidah yang kuat. Persoalannya, apakah ukuran yang boleh menilai kekuatan akidah seseorang

Jefri,
Pulau Pinang.


 
ALHAMDULILLAH wassolatuwasslam ‘ala rasulillah waba’d. Umat Islam generasi terdahulu berjaya kerana memiliki akidah kuat yang tidak boleh digoncang. Keimanan mereka amat kuat atau tebal sehinggakan mereka mempunyai semangat kental untuk menegakkan kemenangan dan ada semboyan menang atau syahid.
Pernah berlaku satu peristiwa, tentera Islam diperintahkan ke Andalusia (Sepanyol) bagi membebaskan rakyat wilayah itu daripada pemerintahnya yang zalim dan kejam. Dengan menaiki 12 kapal perang, tentera Islam menuju ke benua Eropah itu. Selepas mendarat di Andalusia, Tariq bin Ziyad yang mengetuai bala tentera, segera memerintahkan kapal perang yang mereka naiki dibakar.
Pada mulanya, tindakan itu mendapat bantahan sebahagian besar tentera Islam. Mereka menganggap perbuatan itu kurang siuman dan bertentangan dengan hukum Islam yang melarang merosakkan harta benda awam. Apatah lagi, kapal perang kepunyaan mereka. Mereka juga mempersoalkan bagaimana hendak pulang ke tempat asal apabila kapal mereka sudah dibakar.

Bagi memecahkan kebuntuan tenteranya, Tariq bin Ziyad, segera mengumpulkan tenteranya di sebuah bukit yang kemudian dinamakan Jabal Tariq (kini dikenali Gibraltar), lalu Tariq bin Ziyad berucap dengan ucapannya yang terkenal sehingga ke hari ini, “Wahai saudaraku, di belakang kita laut, di hadapan kita musuh. Kita tidak dapat melarikan diri. Demi Allah, kita datang ke sini bagi syahid ataupun mencapai kemenangan. Dan kita tidak akan pulang sebelum mencapai matlamat itu!”

Dengan semangat yang berkobar-kobar, mereka mara menentang tentera Raja Roderic seramai 100,000 orang. Akhirnya Allah SWT mengurniakan kepada tentera Islam kemenangan. Kisah kedua, seorang sahabat Nabi bernama Khabib pernah ditawan kaum Quraisy. Beliau dibawa ke Makkah dan disiksa sehingga menemui ajal.
Sebelum itu, beliau ditanya: “Apakah kamu lebih suka kalau Muhammad di sini sebagai penggantimu dan engkau di rumah bersama keluargamu? Jika beliau menjawab ‘Ya’ mungkin dia akan selamat. Tetapi kekuatan iman dan kecintaannya yang dalam kepada Rasulullah dan risalahnya yang agung, mendorong beliau menjawab, “Demi Allah! Saya tidak suka berada di tengah-tengah keluargaku sedang Muhammad di rumahnya terkena duri.”
Juga, pada masa Rasulullah, pernah seseorang yang sudah berbuat dosa meskipun tidak diketahui sesiapa pun kecuali Allah datang ke masjid dan mengikat dirinya di sebatang tiang dan tidak membukanya sebelum diampuni Allah sehingga Rasulullah SAW membuka ikatannya.

Apabila iman dan akidah sudah kuat dan sempurna dalam hati mereka, tentu mereka akan berjuang segala daya dan kemampuan untuk membela agamanya. Ada di antara kalangan da’i yang selalu berdakwah, tetapi tidak mendapat taufik dan pertolongan Allah SWT.

Apa sebabnya? 
Kerana mereka belum sepenuhnya berdakwah dengan mengerahkan hatinya kepada Allah SWT dan keredaan-Nya.

Sebenarnya kunci pendekatan dengan Allah SWT berada dalam tangan setiap orang. 
Bila kita mendekati-Nya satu depa, Allah SWT akan mendekatinya satu hasta. 
Bila kita mendekati-Nya satu hasta, Allah SWT akan mendekatinya satu lengan.
Jika kalangan da’i bekerja dengan ikhlas dan mengabdikan diri semata-mata hanya kerana Allah, pasti mereka akan memperoleh pertolongan dan reda dari-Nya.

Demikianlah, wallahua’lam.

Petikan Berita Harian

No comments:

Ada baik dibaca juga.....