Ibadah Bulan Sya'aban
Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim daripada Aishah r.a katanya:
"Rasulullah s.a.w tidak berpuasa lebih banyak daripada puasa bulan Sya'aban, sesungguhnya baginda berpuasa seluruhnya dan terkadang-kadang berpuasa sebahagian kecil".
Dalam satu lafaz yang lain beliau berkata:
"Saya tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w berpuasa sebulan penuh selain Ramadan, dan saya tidak pernah melihat akan dia banyak berpuasa selain Sya'aban".
Hadis pertama menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w kadang-kadang berpuasa penuh pada bulan Sya'aban dan adakalanya ia hanya berpuasa sebahagian daripadanya sahaja.
Hadis kedua menjelaskan bahawa baginda banyak berpuasa dalam bulan Sya'aban tetapi tidak pernah penuh berpuasa sebulan. Berdasarkan keterangan diatas sebahagian ulamak mengatakan bahawa kedua-dua bentuk atau cara puasa tersebut pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Sebahagian ulama pula menyatakan bahawa hadis kedua menafsirkan hadis pertama. Lafaz "Nabi berpuasa seluruhnya" bermaksud bahawa baginda berpuasa sebahgian besar daripada hari-hari bulan berkenaan.
Rasulullah s.a.w melarang seseorang mendahului puasa Ramadan dengan puasa sehari atau dua hari sebelumnya. Bagi orang yang biasa berpuasa sebelumnya seperti puasa Isnin dan Khamis dan secara kebetulan hari tersebut jatuh bertepatan dengan awal Ramadan, maka hal tersebut tidak menjadi satu kesalahan.
Larangan tersebut berdasrkan hadis.
Dari Abu Hurairah r.a dari Nabi s.a.w beliau bersabda yang bermaksud:
"Janganlah seorang di antara kamu mendahului Ramadan dengan puasa sehari atau dua hari, kecuali kalau seseorang itu kebiasaannya berpuasa dan tepat hari puasanya, maka ia boleh berpuasa pada hari berkenaan".
Di antara kelebihan bulan Syaaban ialah:
- Syaaban mempunyai keistimewaan yang tersendiri seperti yang dijelaskan oleh hadis berikut yang bermaksud: "Kelebihan bulan Syaaban terhadap semua bulan seperti kelebihanku terhadap semua nabi, manakala keutamaan bulan Ramadan itu terhadap semua bulan seperti keutamaan Allah Ta'ala kepada hambanNya".
- Allah S.W.T mengangkat darjat orang yang menghidupkan bulan ini dengan amalan ibadah. Dalam bulan ini Allah S.W.T banyak memberi rahmat dan kurnia kepada hambaNya. Tentang rahmat Allah S.W.T ini Rasulullah s.a.w ada bersabda yang bermaksud:"Allah mengangkat amalan-amalan semua hambaNya pada bulan ini.Rasulullah s.a.w juga pernah memberitahu para sahabat tentang bulan Syaaban. Bulan tersebut dinamakan demikian kerana bulan itu Allah banyak memberi rahmat kepada hambaNya; Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: " Adakah kamu semua tahu kenapa dinamakan "Syaaban"? Para sahabat menjawab: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda berkata: Kerana dalam bulan itu kebaikan berkembang dengan banyak sekali.
"Jibril telah datang padaku pada malam Nisfu Syaaban dan berkata: Wahai Muhammad pada malam ini pintu-pintu langit, juga pintu-pintu rahmat dibuka, maka bangunlah dan sembahyang, angkat kepala dan kedua belah tanganmu ke langit. Aku bertanya: Wahai Jibril, apakah erti malam ini? Ia menjawab: Pada malam tersebut tiga ratus pintu rahmat dibuka. Allah Ta'ala mengampuni orang yang tidak menyekutukanNya dengan sesuatu, melainkan mereka yang terdiri daripada ahli sihir, tukang tilik, orang yang suka bermusuh-musuhan, peminum arak, juga orang yang terus-menerus melakukan zina, pemakan riba, orang yang derhaka kepada kedua ibubapa, orang yang suka mengadu domba dan orang yang memutuskan silatulrahim. Sesungguhnya mereka itu tidak akan diampuni sehingga mereka bertaubat dan tidak mengulanginya. Maka pergilah Nabi 'alahi 's-salam lalu bersembahyang dan menangis dalam sujudnya sambil berkata: "Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada siksaanMu dan kemurkaanMu dan aku tidak menghitung pujian-pujian keatasMu seperti Engkau puji diriMu sendiri, maka segala puji adalah bagiMu sehingga Engkau rela".
Orang yang berpuasa pada bulan ini amat besar pahalanya. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: "Barangsipa berpuasa tiga hari daripada permulaan Syaaban, pada tiga hari pada pertengahannya dan tiga hari pada pertengahannya dan tiga hari akhirnya maka Allah S.W.T akan mencatat baginya pahala 70 orang nabi, dan ia adalah seperti orang yang beribadat kepada Allah Ta'ala selama 70 tahun. Andainya ia mati ditahun itu ia adalah seperti orang mati syahid".
Orang yang membesarkan bulan ini dengan beribadah akan terpelihara daripada maksiat, taubatnya diterima juga terselamat daripada bencana pada tahun berkenaan. Sabda rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Barangsiapa yang membesarkan Syaaban dan bertaqwa kepada Allah S.W.T serta taat juga menahan diri daripada maksiat, Allah Ta'ala akan mengampuni dosa-dosanya dan menyelamatkan dia daripada segala bencana yang berlaku pada tahun tersebut juga daripada sakit-sakit".
Kasih dan ketaantan orang yang beribadat pada tahun tersebut terhadap Allah akan kekal. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
"Barangsiapa yang menghidupkan malam dua hari raya dan malam pertengahan bulan Syaaban maka hatinya tidak akan mati biarpun semua hati mati ketika itu".
Petikan dari buku TAQARRUB
Amalan Menghampirkan Diri Pada Illahi
Dr.Amran Kasimin(1991)
No comments:
Post a Comment