22 March 2013

Apa Itu Fatwa?



Definisi Fatwa
Pada bahasa ia diambil daripada afta-ifta'an yang memberi maksud menjelas dan menghuraikan hukum permasalahan.

Dari Segi Istilah
Pada istilahnya pula, fatwa mempunyai pelbagai definisi antaranya:
Fatwa adalah sebagai jawapan yang dibuat oleh mufti pada perkara yang berlaku apabila diajukan soalan kepadanya.
Fatwa ialah mengkhabarkan hukum Allah SWT sama ada pada yang mesti atau harus.

Peruntukan Mengenai Fatwa Dalam Undang-Undang

Di dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505], peruntukan mengenai fatwa dijelaskan di bawah Seksyen 34 iaitu:

Maksud Fatwa iaitu pendapat atas apa-apa persoalan yang belum diselesaikan atau yang  menimbulkan pertikaian mengenai atau berhubung dengan Hukum Syarak;

Mengenai bila sesuatu fatwa itu boleh dibuat, iaitu apabila diperintahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, atau atas permintaan orang ramai melalui surat yang dihantar kepada Mufti, atau dibuat atas kehendak Mufti itu sendiri;

Sesuatu pernyataan yang dibuat oleh Mufti hanya boleh diambil sebagai fatwa jika pernyataan itu disiarkan dalam warta berhubung dengan Hukum Syarak;

Sesuatu fatwa yang telah disiarkan dalam warta hendaklah dipatuhi oleh semua umat Islam yang berada di negeri itu, kecuali amalan peribadi yang dibenarkan mengikut Hukum Syarak; dan

Fatwa yang diwartakan merupakan sebahagian daripada undang-undang yang perlu diikuti oleh semua Mahkamah Syariah bagi negeri itu.

08 February 2013

Sumber Maksiat

Menurut Ibnu Ataillah dalam kitab Hikamnya bermaksud:
"Asal semua maksiat, kelalaian dan syahwat ialah keredaan memuaskan hawa nafsu, sedangkan pokok segala ketaatan, kesedaraan dan kesopanan akhlak budi ialah pengekangan (penahanan) terhadap hawa nafsu. Dan engkau berkawan seorang bodoh yang tidak menurutkan hawa nafsu lebih baik daripada berkawan seorang alim yang selalu menurut hawa nafsunya. Maka ilmu apakah yang dapat digelarkan bagi seorang alim yang selalu menurutkan hawa nafsunya, dan kebodohan apakah yang dapat disebutkan bagi seorang jahil yang sudah dapat mengekang(menahan) hawa nafsunya".

Hadith Qudsi

Al-hadith al-qudsi iaitu hadith yang diriwayatkan oleh Rasulullah S.A.W dan disandarkan kepada Allah S.W.T. Hadith ini juga dinamakan al-hadith Ilahi atau Al-hadith ar-rabbani.

Al-hadith an-nabawi iaitu hadith yang disandarkan kepada Rasulullah S.A.W samada perkataan, perbuatan atau sifat atau taqrirnya.

HADIS NABAWI

Hadis nabawi itu ada dua bahagian:

( Pertama, tauqifi )

Yang bersifat tauqifi iaitu yang kandungannya diterima oleh Rasulullah s.a.w. dari wahyu. Lalu, ia menjelaskan kepada manusia dengan kata-katanya sendiri. Bahagian ini meskipun kandungannya dinisbahkan kepada Allah, tetapi dari segi pembicaraan lebih layak dinisbahkan kepada Rasulullah s.a.w., sebab kata-kata itu dinisbahkan kepada yang mengatakannya meskipun di dalamnya terdapat makna yang diterima dari pihak lain.

19 December 2012

Antara Nafsu dan Syaitan

Nafsu apabila meminta sesuatu kepada kamu ia membuat saranan berterusan dan sentiasa mempengaruhi kamu sehingga tercapai kehendaknya dan berhasil tujuannya melainkan apabila ia digagalkan dengan mujahadah sebenar yang berterusan.

Syaitan apabila mengajak kamu melakukan sesuatu penyelewengan tertentu dan kamu mengingkarinya dia mempengaruhi kamu supaya melakukan penyelewengan yang lain pula kerana bagi kamu semua pelanggaran ajaran Allah itu sama baginya. Ia hanya mahu selama-lamanya mengajak kepada penyelewengan apa sahaja dan bukan tujuannya, mengkhususkan penyelewengan dalam satu perkara dan tidak yang lain.



Ada baik dibaca juga.....